sukan

TFC tidak berdiam isu babitkan Argzim Redzovic

Sekalipun masih belum mendapat jawapan berhubung status naturalisasi pemain import, Argzim Redzovic, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd masih belum berputus asa.

Sebaliknya pihak pengurusan skuad Penyu itu terus berusaha bagi memastikan pemain kelahiran Montenegro berusia 32 tahun itu mendapat pasport Malaysia bagi membolehkan dia didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, walaupun setakat ini masih belum berjaya, namun pihaknya tidak sesekali berdiam diri berhubung proses itu.

Jelasnya, rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah dilakukan bagi membolehkan Redzovic tidak lagi bergelar pemain import, namun ia belum berhasil buat masa ini.

“Rayuan sudah dibuat, lagipun pemain itu sudah melepasi syarat yang ditetapkan untuk bergelar pemain naturalisasi selain mempunyai keluarga di negara ini kerana dia berkahwin dengan gadis tempatan.

“Namun sehingga kini masih belum berhasil biarpun permohonan sudah dibuat sebelum ini, jadi situasi ini sudah pasti membuatkan kami ternanti-nanti jawapannya.

“Justeru kami mengharapkan pihak berkuasa dapat meluluskan permohonan itu dengan seberapa segera terutama dalam tempoh jendela pertama pendaftaran pemain yang bermula 10 Februari hingga 3 Mei ini.

sumber:- BH

“Ini bagi membolehkan pihak kami membuat persiapan lebih awal sebelum Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya pada 10 Mei depan,” katanya.