sukan

Masa semakin mencemburui Tze Yong

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Institut Sukan Negara (ISN) berhubung penyertaan Ng Tze Yong dalam tiga kejohanan di Eropah – Terbuka Perancis, Seluruh England dan Masters Sepanyol.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata setakat ini nama pemain perseorangan lelaki negara itu masih belum dikeluarkan daripada menyertai tiga kejohanan berkenaan.

Katanya, Tze Yong yang juga pemain ranking ke-15 dunia hanya menarik diri daripada saingan Terbuka Jerman yang berlangsung, minggu depan.

“Selepas mensyuarat hari ini, nama Tze Yong masih ada untuk tiga kejohanan, Terbuka Perancis, Seluruh England dan Masters Sepanyol.

“Kami masih menunggu laporan perubatan daripada ISN sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pada saingan BATC (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia), dia tidak dapat, pergerakannya agak terbatas ketika menentang Brunei dan tidak dapat beraksi pada hari berikutnya bertemu Kazakhstan.

“Secara jujurnya, saya fikir adalah mustahil untuk beraksi dalam saingan bertaraf Super 750 dan 1000 kerana anda bermain menentang pemain utama dunia.

“Apa pun, kita tunggu laporan perubatan daripada ISN sama ada dia boleh bermain atau tidak,” kata Rexy.

Masa semakin mencemburui Tze Yong dalam usahanya layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tempoh kelayakan akan tamat pada hujung April depan.

Dalam pada itu, Rexy menafikan kecederaan dialami Tze Yong ada kaitan dengan regim latihan keras di ABM.

Sebelum ini, Tze Yong dilaporkan meningkatkan jumlah jam dalam latihan bagi melonjakkan prestasinya.

“Tidak, kosong…dia belum berlatih selama enam jam sehari itu, dan tahun ini dia terpaksa berehat sejak Terbuka Malaysia.

“Saya tidak tahu berapa banyak pemulihan yang telah dilakukan oleh Tze Yong.

“Daripada pihak kami, saya harap laporan perubatan akan mengatakan dia tidak apa-apa dan badannya sudah bersedia.

“Dengan cara itu, lebih mudah untuk kita merancang dan membuat keputusan,” kata Rexy.

Tahun lalu, Tze Yong mara ke suku akhir Seluruh England dan separuh akhir di Perancis.

Sekiranya dia terlepas dua kejohanan berkenaan, dia akan kehilangan mata ranking sekali gus menjejaskan peluangnya untuk layak ke Sukan Olimpik Paris.

Sementara itu, ketua perubatan BAM, Ooi Yu Hang memaklumkan ISN mencadangkan supaya Tze Yong dipantau selama 10 hari terlebih dahulu selepas mengambil suntikan bagi mengurangkan kesakitan susulan kecederaan dialaminya itu.

Katanya, kecederaan terbaru dialami Tze Yong berbeza berbanding ketika Terbuka Malaysia, bulan lalu yang mana kali ini ada kaitan dengan tulang belakangnya.

“Kecederaan terbaharu ini bukan dari Terbuka Malaysia bulan lepas. Tze Yong sudah pulih daripada kecederaan itu, tetapi kecederaan baru ini berkaitan dengan tulang belakangnya.

“Doktor di ISN telah mencadangkan kami untuk menunggu dan memantau bagaimana Tze Yong bertindak balas terhadap suntikan bagi mengurangkan kesakitan yang diambil ketika BATC.

sumber:- BH

“Buat masa ini, Tze Yong akan memberi tumpuan kepada pemulihan, untuk menguatkan ototnya dan menjalani latihan ringan,” kata Yu Hang.