sukan

“Saya tidak boleh dedahkan lagi “

Seorang pemain yang beraksi bersama Malaysia di Piala Asia 2023 akan menguatkan pasukan Penang FC bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2024/2025.

Pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, kehadiran pemain itu bersama beberapa pemain yang berpengalaman dalam Liga Super mampu membantu pasukan Harimau Kumbang menghadapi saingan liga yang lebih kompetitif.

Jelasnya, untuk persiapan pasukan dari segi pemain tempatan, ia sudah lengkap dan skuad kendaliannya akan menggunakan lebih ramai pemain tempatan berbanding pemain import untuk liga kali ini.

“Saya tidak boleh dedahkan lagi sebab kita tunggu pengumuman rasmi tapi apa yang boleh saya kata, akan ada seorang pemain yang berada dalam skuad di Qatar (Piala Asia 2023) baru-baru ini.

“Kita akan bawa masuk lima pemain baharu, enam pemain dari skuad bawah 23 tahun Penang FC dan 14 pemain dari skuad yang lepas ini dikekalkan,” katanya.

Selain itu, Penang FC tidak akan terburu-buru mencari pemain import dan setakat ini, mereka akan mengekalkan pendirian dengan menggunakan tiga pemain import terlebih dahulu.

“Kita sekarang dalam proses untuk mengenal pasti pemain import. Kita kekalkan Rafael Vitor dan dua lagi kita akan cari import baharu.

“Apa yang diputuskan oleh pihak pengurusan adalah tiga orang. Kita ada kekangan bajet yang harus kita ikut. Jadi kita akan kekal dengan tiga pemain pemain import buat masa sekarang dan adalah sesuatu yang baik untuk pemain muda pemain beraksi,” kata Akmal Rizal.

Tambah pengendali berusia 42 tahun itu, pemain akan melaporkan diri pada 19 Februari ini manakala pengumuman penuh untuk skuad Penang FC mungkin akan dilakukan pada 19 atau 20 Februari ini.

sumber:- HM

Untuk rekod, pada musim lalu Harimau Kumbang menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-10 dan mara ke suku akhir saingan Piala FA serta berjaya ke separuh akhir Piala Cabaran.