sukan

Rejim keras Korea, Zii Jia tidak duduk diam

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia nyata tidak duduk diam dalam usaha untuk melonjakkan prestasinya.

Terbaharu, dia berkongsi pengalaman apabila berpeluang ‘berguru’ di Korea Selatan selama 11 hari dari 31 Januari hingga semalam.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial rasmi Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ), hari ini, ia memaparkan pemain ranking ke-10 dunia itu mengharungi regim latihan keras di pusat latihan Persatuan Badminton Korea (BKA) di Jincheon.

Bekas juara Seluruh England itu dilihat berlatih bersama pemain kebangsaan Korea.”Ia adalah satu pengalaman yang menakjubkan, kami amat berterima kasih kepada BKA.

“Inilah pandangan di sebalik tabir di dalam pusat latihan BKA di Jincheon, Seoul yang dirakam jurulatih kecergasan Team LZJ, Lim Joe Heang.

“Sudah tidak sabar untuk kembali beraksi dan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambutnya,” tulis keterangan pada video yang dimuat naik itu.

Difahamkan, peluang berlatih di pusat latihan BKA diatur jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng yang pernah berkhidmat selama empat tahun bersama badan induk badminton Korea itu sebelum menyertai skuad kebangsaan Hong Kong pada 2022.

Ilmu dari Korea dijangka menjadi azimat buat Zii Jia yang akan mengetuai cabaran Malaysia bagi menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam bermula Selasa ini.

Skuad negara yang tampil sebagai juara bertahan diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Brunei dan Kazakhstan.

sumber:- BH

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik kejohanan kali ini layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas-Uber di Chengdu, China, April depan.