sukan

Bukan senang-senang nak tipu JDT

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan terperangkap dengan mainan atau percubaan ejen pemain untuk menawarkan individu Malaysia yang berpangkalan di luar negara kepada kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT Alistair Edwards dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya lebih percaya dan yakin terhadap skuad ‘depth’ dimiliki pasukan berpangkalan di Selatan tanah air itu.

Berikutan itu, beliau memaklumkan JDT tidak akan sesekali terperangkap dengan perang bidaan itu.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim mengesahkan kami ditawarkan seorang pemain Malaysia yang bermain di luar negara, dan Harimau Selatan menolak tawaran tersebut disebabkan harga disebutkan adalah tidak munasabah.

“Kami percaya terdapat percubaan untuk meningkatkan nilai pemain dengan mencipta perang bidaan, sesuatu yang JDT tidak akan terperangkap,” katanya.

Selain itu, beliau juga percaya skuad semasa JDT sudah cukup baik bagi mengharungi musim 2024/ 2025 dan bakal beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

“Kami percaya skuad Harimau Selatan 2024/2025 sudah mempunyai ‘squad depth’ yang baik berdasarkan beberapa pemain diumumkan setakat ini dan beberapa lagi akan menyusul di mana ia bukan sahaja memperkuatkan skuad tetapi juga menepati 40 peratus pengurangan perbelanjaan berbanding musim sebelumnya,” katanya.

Terdahulu, terdapat desas-desus mengatakan JDT menolak tawaran khidmat seorang pemain negara yang berkelana di luar negara.

Berikutan itu, pemain terbabit ditawarkan pula kepada pasukan pesaing Harimau Selatan untuk menggunakan khidmatnya kelak.

Sementara itu, rata-rata penyokong bola sepak tanah air beranggapan pemain terbabit adalah tonggak Harimau Malaya Dion Cools namun dinafikan JDT menerusi akaun Facebook rasmi mereka iaitu Johor Southern Tiger.

sumber:- HM

“Bukan Dion Cools,” tulis laman sosial terbabit bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan penyokong bola sepak tempatan itu.