sukan

Penyokong Kedah boleh tarik nafas lega dengan pengumuman MFL

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak boleh terus mengenakan hukuman berat dengan menarik lesen mana-mana pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan tindakan itu hanya boleh diambil selepas pasukan terbabit melalui proses atau peringkat hukuman tertentu, sekiranya masalah tunggakan gaji tidak dapat diselesaikan.

Beliau berkata, proses berkenaan sama seperti yang dilakukan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mana pembatalan penyertaan atau penarikan lesen dilihat sebagai jalan terakhir selepas hukuman lain dikenakan.

“Kita ada beberapa tindakan yang boleh diambil sebelum menarik lesen pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji termasuk denda, tolak mata dan sekatan perpindahan pemain.

“Contohnya, kalau FIFA membuat keputusan berkaitan kes tunggakan gaji, tidak bermakna mereka tarik terus lesen pasukan. Mereka membuat sekatan perpindahan dahulu, kedua denda dan ketiga baru tindakan terhadap penyertaan pasukan.

“Jadi, kita masih dalam fasa pertama untuk cuba menyelesaikan perkara ini. Kita lihat mungkin jauh lagi hingga dikenakan penarikan lesen. Tetapi kita akan bekerjasama dengan pasukan dan semua pemegang taruh terlebih dahulu untuk menyelesaikan perkara terbabit,” katanya

Difahamkan dua pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) dan Kuala Lumpur (KL) City sedang bergelut dengan masalah tunggakan gaji hingga mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air adakah lesen pasukan terbabit bakal ditarik balik dan tidak boleh menyertai saingan musim 2024/2025.

Mengulas lanjut, Stuart turut menjelaskan kes dua pasukan terbabit berbeza dengan kes Kelantan yang gagal dalam mendapatkan lesen juga akibat isu tunggakan gaji.

“Kes Kelantan sedikit berbeza, mereka berdepan masalah sebelum lesen diberi, sekarang ini hutang (dua pasukan) timbul selepas lesen diberi, bukan waktu sebelum lesen diberi.

“Dua pasukan ini juga dalam kedudukan yang kita berasa boleh diselesaikan lagi. Harap mereka gunakan masa yang ada sebelum liga bermula untuk selesaikan,” katanya.

Ditanya apa tindakan yang diambil MFL dalam usaha menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan dua pasukan itu, Stuart memaklumkan pihaknya akan mengumpul maklumat daripada kedua-dua belah pihak iaitu pasukan, pegawai dan pemain terbabit sebelum langkah seterusnya diambil.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya sudah berhubung dengan dua pasukan terbabit, mereka memahami tekanan pada masa ini dan memahami permintaan daripada pemain yang menuntut hak mereka.

sumber:- BH

“Pasukan ini tidak ingin berada dalam kedudukan sebegini dan mereka akan meletakkan segala keutamaan untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin,” katanya.