sukan

JDT dikatakan semakin ‘menjadi-jadi’

Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh dikatakan semakin ‘menjadi-jadi’ apabila pemilik kelab terbabit, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan seorang pemain naturalisasi bakal memperkuatkan Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.

Perkara itu disahkan beliau di ruangan komen Instagram Johor Southern Tigers, apabila skuad JDT sudah hampir 40 peratus siap sepenuhnya dan kini sedang menunggu ketibaan beberapa pemain lagi untuk memperkuatkan pasukan itu.

“Pemain tempatan satu sudah ditandatangani dan dipinjamkan untuk dapatkan minit permainan. Lagi satu, naturalisasi dalam skuad JDT,” tulisnya.

Walaupun beliau tidak memperincikan pemain naturalisasi itu, penyokong bola sepak tempatan boleh meneka pemain dimaksudkan itu adalah bekas penyerang Kuala Lumpur City (KL City) FC, Romel Morales.

Nama Morales menjadi sebutan baru-baru ini selepas dia beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar dan menjaringkan gol penyamaan ketika seri 3-3 dengan Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E.

Kehadiran Morales bakal memberi banyak pilihan kepada pengendali JDT, Hector Bidoglio membentuk jentera serangan mantap bersama penyerang import baharu, Nicolao Dumitru, Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi.

JDT sebelum ini mengumumkan kemasukan pemain import baharu untuk kuota Asia iaitu Jalil Elias dan turut menandatangani pemain tengah dari Brazil, Murilo Henrique.

Tonggak naturalisasi terbaru negara itu mengesahkan status dirinya pada saingan Liga Malaysia musim depan apabila mengakui meninggalkan KL City.

sumber:- HM

Menerusi akaun peribadi Instagram miliknya, Morales mengakui tidak akan bersama KL City pada musim 2024/2025 dan bakal meneruskan kariernya dengan pasukan baharu.