sukan

Minat dapatkan Paulo Josue

Terengganu FC (TFC) tidak menafikan berminat untuk mendapatkan khidmat kapten Kuala Lumpur (KL) City, Paulo Josue bagi memantapkan lagi pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) 2024/25 yang bakal bermula pada Mei ini.

Bagaimanapun faktor kewangan menyebabkan skuad dari Pantai Timur itu terpaksa melupakan hasrat untuk melamar pemain naturalisasi negara itu pada musim ini.

Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas yang mengakui faktor itu menyebabkan pihak pengurusan terpaksa melupakan hasrat untuk mengikat pemain tengah berusia 35 tahun itu.

“Kita tidak nafikan memang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tinggi lampai kelahiran Brazil itu bagi memantapkan lagi jentera serangan pasukan dalam kancah Liga M pada musim ini.

“Lagipun dia kini berstatus pemain naturalisasi berbanding bertaraf import sebelum ini, bagaimanapun faktor gaji pemain itu yang di luar kemampuan pasukan menyebabkan kami terpaksa melupakan hasrat untuk mengikat pemain Harimau Malaya itu.

“Hal ini kerana pada saingan kali ini, pihak pengurusan tiada pilihan melainkan perlu melakukan langkah penjimatan dalam perbelanjaan disebabkan kekurangan peruntukan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu dalam laman sosial, peminat setia bola sepak skuad Penyu itu menyarankan pihak pengurusan agar dapat membawa masuk pemain berketinggian 1.83 meter itu bagi memperkuatkan lagi pasukan pada musim ini.

Berdasarkan rekod pada musim ini, pemain yang mula mewakili KL City FC sejak pertengahan musim 2017 sudah beraksi dalam 29 perlawanan bersama skuad itu dan berjaya meledak 11 gol selain turut menyumbang 8 bantuan gol.

Terdahulu penyokong skuad Penyu terpaksa ‘berpisah’ dengan bekas kapten pasukan, Habib Haroon dan pemain sayap, Sony Norde selepas kontraknya tidak disambung kerana pihak pengurusan dikatakan tidak mampu untuk membayar gaji pemain berkenaan.

Turut dilepaskan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu empat lagi tonggak import iaitu Jordan Mintah, Sardor Kulmatov, Adisak Kraisorn dan Omid Nazari atas faktor prestasi manakala lima pemain tempatan yang diketepikan iaitu Adib Zainuddin, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali, Mohd Rahmat Makasuf, Azarul Nazarith Azhar dan penjaga gol, Shafawi Mohamad.

sumber:- BH

Setakat ini, selain Argzim Redzovic yang masih menunggu status pemain naturalisasi, TFC mengekalkan dua tonggak import pada musim lalu iaitu penyerang, Ivan Mamut dan pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov.