sukan

Piala Asia: Palestin sekali lagi hampir cipta Kejutan

Juara bertahan Qatar berdepan cemas sebelum menundukkan Palestin 2-1 sekali gus layak ke suku akhir Piala Asia menerusi gol Hassan Al-Haydos dan Akram Afif di Stadium Al Bayt, awal pagi tadi.

Qatar meraih kemenangan ke-11 berturut-turut dalam Piala Asia dan akan kembali ke Al Bayt bagi pertembungan suku akhir bila mana pasukan kendalian Tintin Marquez akan menentang pemenang aksi pusingan 16 terakhir antara Uzbekistan dan Thailand malam ini.

Sekalipun mereka melepaskan gol pertama bertentangan dengan arus perlawanan, Qatar tenang dan klinikal apabila mereka mencipta peluang terbaik untuk menghukum Palestin, yang layak ke pusingan kalah mati Piala Asia buat julung kali.

Seminit bertafakur bagi mangsa yang terkorban susulan konflik Israel-Hamas diadakan sebelum sepak mula, dengan sesetengah peminat menjerit “Free Palestine.” Sebaik pengadil meniup wisel penonton fokus menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing di tengah padang.

Di sebalik Qatar bermula sebagai pilihan utama di gelanggang sendiri di depan hampir 64,000 penyokong, serangan Palestin kelihatan lebih berbahaya pada babak pertama dan usaha keras dan ketabahan mereka berbaloi pada minit ke-37.

Palestin merampas bola sebelum Oday Dabbagh melakukan larian solo dan merembat melepasi penjaga gol Meshaal Barsham ke penjuru bawah gol bagi gol ketiganya pada kejohanan itu dan gol pertama negaranya pada pusingan kalah mati.

Sekalipun Qatar ketinggalan, gol itu masih diraikan penyokong tempatan ketika pemain Palestin bersujud di satu sudut padang.

“Ia satu perlawanan menentang Palestin dan ia penuh emosi. Dengan penuh hormat saya faham mengenai peminat kami (bersorak untuk Palestin),” kata Marquez kepada wartawan.

“Inilah bola sepak, anda boleh merancang sesuatu dan ia tidak selalu berjalan mengikut perancangan. Pemain Palestin beraksi dengan amat bagus, mereka berani.

“Apa yang paling penting kami layak (ke pusingan berikutnya) dan kami perlu kekal positif bagi masa depan.”Kapten Qatar, Al-Haydos menyamakan kedudukan dengan sepakan terakhir babak pertama apabila dia menyambut hantaran leret Afif susulan sepakan sudut untuk merembat melepasi dua pemain pertahanan dan penjaga gol Rami Hamadeh.

Qatar kemudian mendahului beberapa minit selepas rehat apabila Almoez Ali dijatuhkan susulan terjahan lewat Mohammed Saleh dan Afif tenang menyempurnakan penalti bagi gol keempatnya dalam empat perlawanan pada kejohanan itu.

Palestin mempunyai beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi sentuhan penyudah tumpul dan tidak benar-benar menguji penjaga gol Barsham ketika Qatar bertahan untuk memastikan kemaraan.

“Pemain saya sudah memberikan segala-galanya di sebalik mereka berdepan keadaan sukar. Saya tidak boleh meminta lebih lagi dengan apa yang mereka sudah lakukan,” kata jurulatih Palestin, Makram Daboub.

sumber:- BH

“Saya amat berbangga dengan pasukan juara saya. Mereka mempunyai impian besar dan bangga mewakili rakyat Palestin. Kami mahu menggembirakan mereka tetapi maaf kami tidak dapat melakukannya.” – REUTERS