sukan

Piala Asia: Satu kesilapan kecil bawa padah – Pengendali Iraq

JESUS Casas memberi amaran kepada pemain Iraq bahawa mereka mesti ‘sempurna’ apabila turun menentang Jordan lewat petang ini.

Pada masa sama, pengendali Iraq dari Sepanyol itu berjanji pasukannya akan menampilkan corak permainan menyerang pada pertembungan pusingan 16 terakhir Piala Asia di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Iraq dan tuan rumah, Qatar serta Iran adalah tiga pasukan yang layak ke pusingan kalah mati dengan rekod 100 peratus.

Anak buah Casas sebelum ini mengejutkan pilihan kejohanan, Jepun 2-1 sekali gus meningkatkan harapan peminat bahawa mereka boleh mengulangi ‘kisah dongeng’ kemenangan Piala Asia pada edisi 2007.

“Tidak mustahil kemenangan berpihak kepada Iraq jika kami memberikan perlawanan yang sempurna.

“Tetapi jika kami melakukan satu kesilapan dalam kejohanan ini, anda berkata ‘bye-bye’,” katanya.Dalam pada itu, Casas menegaskan pasukannya tidak akan mengubah falsafah permainan semata-mata mahu mengelak kekalahan kepada Jordan.

Berbeza dengan tiga kemenangan Iraq daripada tiga perlawanan di peringkat kumpulan, Jordan memenangi satu perlawanan dan mara ke pusingan kalah mati sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik tempat ketiga.

sumber:- SH

“Gaya kami jelas iaitu kami cuba menyerang, mengawal bola dan mencipta banyak peluang.“Kami tidak mengubah gaya kami,” katanya.