Suasana tegang masih membelenggu kem Taeguk Warriors walaupun sudah tiga hari peristiwa terikat seri 3-3 dengan Malaysia – sehinggakan Kapten Pasukan Korea Selatan, Son Heung-min perlu menggesa media dan penyokong mereka untuk berhenti membuat kritikan melampau ke atas rakan sepasukannya.
Jika Harimau Malaya dikritik hebat atas dua kekalahan kepada pasukan di ranking no.86 dan no.87 dunia, Bahrain dan Jordan, keputusan seri menentang pasukan dengan jurang ranking yang jauh seperti Malaysia dianggap tidak masuk akal oleh rakyat Korea Selatan – Bagaimana penguasaan padang yang dominan dengan 20 sepakan penjuru hanya membuahkan tiga jaringan buat republik itu?.
Jaringan yang dihasilkan oleh Korea Selatan juga dilihat seperti hampir mampu diselamatkan oleh penjaga gol Malaysia, Mohd Syihan Hazmi Mohamed, yang turut tular di negara itu, sekiranya mendapat banyak pendedahan dan pengalaman bersaing di kejohanan yang lebih kompetitif.
Sebagai contoh gol kedua jaringan Lee Kang-in, walaupun sepakan percuma itu dilabel berada pada kelas tersendiri, ia berjaya diagak oleh Syihan dengan baik dan sayangnya ia terkena lantunan tangannya pula.
Begitu juga peluang penalti yang disempurnakan oleh Heung-min, kepuasan hampir pasti menjadi milik Syihan sekiranya satu saat lebih pantas untuk tangannya menepis bola itu daripada menerjah masuk ke gawang Malaysia buat kali ketiga.
Penyokong Korea Selatan juga mempersoalkan barisan pertahanan mereka yang menyaksikan 3 jaringan berjaya dihasilkan Malaysia – malah klip video bagaimana Ariff Aiman menggelecek 3 pemain mereka untuk membawa bola ke dalam kotak penalti dan Faisal Halim yang berpusing menewaskan 2 pertahanan dan penjaga gol, Jo Hyeon-woo menerima komen yang tinggi.
Bagaimanapun, Taeguk Warriors bukan sekadar panggilan kerana ia bersandarkan kepada beberapa faktor yang telah meletakkan mereka pada ranking no.23 dunia ketika ini – bukan juga kerana mendapat sentuhan Ketua Jurulatih, Jurgen Klinsmann semata-mata – tetapi kebolehan cepat mengadaptasi dan tidak mudah mengalah.
Situasi ini sebenarnya pernah dilalui skuad bawah 23 tahun mereka di Sukan Asia 2018 dimana Korea Selatan yang tewas 2-1 kepada Malaysia tamat di belakang Malaysia sebagai naib juara Kumpulan E dan ia menjadi titik kebangkitan kepada pasukan yang turut dibarisi oleh Heung-min itu sehingga berjaya meneruskan kempen mereka dengan membawa pulang pingat emas dari Indonesia selepas menewaskan Jepun di pentas akhir.
Dan sekiranya pasukan yang pernah beraksi di Piala Dunia itu sanggup belajar sesuatu dari pasukan tanpa reputasi gah seperti Malaysia, pastinya lebih banyak yang boleh kita jadikan pengajaran dan teladan kerana berbalik kepada perjuangan asal – kempen keempat Piala Asia di Qatar ini adalah sebahagian daripada proses mencapai misi lebih besar, khususnya di Kelayakan Piala Dunia 2026.
sumber:- SA
Jadi, baik penyokong mahu pun barisan skuad Harimau Malaya, jangan lama sangat terbuai dengan kejayaan membawa pulang mata dari Qatar. Sementara itu, jangan lupa pantau bagaimana Korea Selatan boleh muncul juara selepas 64 tahun.