sukan

Kim Pan-gon ‘gentleman’

Sikap bertanggungjawab dan tidak menyalahkan mana-mana pemain adalah kunci keharmonian skuad Harimau Malaya sejak di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Biarpun kadangkala keputusan perlawanan tidak memihak pasukan, Pan-gon tetap berdiri teguh dan mempertahankan barisan pemain dengan mengakui setiap kekalahan dialami berpunca daripada dirinya.

Buktinya dapat dilihat selepas pasukan tewas 0-4 di tangan Jordan pada aksi pertama Kumpulan E Piala Asia di Qatar yang menyaksikan jurulatih daripada Korea Selatan itu meminta peminat menyalahkannya ekoran keputusan buruk itu.

Malah, beliau juga tidak menuding jari dan amat menghormati penyokong dengan mengingatkan anak buahnya agar sentiasa berjuang demi lencana di dada bagi membanggakan jutaan peminat tanah air.

Perkara itu diakui sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang berkata keharmonian adalah formula kejayaan pasukan di pentas antarabangsa.

Katanya, beliau dan Pan-gon tidak pernah menyalahkan pemain kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada prestasi pemain.

“Bila kita kalah jangan salahkan mana-mana (pemain). Saya punya kenyataan konsisten (tidak menyalahkan pemain), bila kalah kepada Tajikistan sebelum ini (di final Pestabola Merdeka, Oktober tahun lalu), pemain agak gembira.

“Saya fikir ini bukan masa kenapa Arif Aiman (Hanapi) tak jaringkan gol…mengapa bocor dan mengapa Syihan (Hazmi) tak halang. Dalam bola sepak bila kalah adalah disebabkan kelemahan kita, tapi kita perlu pandang secara keseluruhan.

“Pasukan ini perlu kembali balik (bangkit), dan kita bukan hanya asyik menang sahaja, ada masa kita kalah. Jadi kita kena bangkit balik dan semua pihak kena sokong pasukan,” katanya yang akui Pan-gon bukan sekadar jurulatih, malah umpama bapa kepada pemain.

Untuk rekod, sejak Pan-gon membimbing pasukan kebangsaan pada Mac 2022, beliau berjaya memacu pasukan mencatat 18 kemenangan dalam 28 perlawanan termasuk layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun yang gagal dilakukan mana-mana jurulatih sebelum ini sama ada tempatan mahupun import.

Malah, lonjakan ranking daripada 154 hingga ke-130 dunia hanya dalam tempoh 20 bulan nyata sesuatu yang jarang berlaku buat skuad negara.

Ujar Hamidin lagi, beliau menyeru semua pihak memberi sokongan padu kepada skuad negara yang akan mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Mac ini.

sumber:- HM

“Ini bukan pasukan saya. Ini pasukan untuk semua, untuk Malaysia, betul tak. Saya hanya berada dalam sistem untuk memastikan pasukan ini berjaya,” katanya.