sukan

Hack jaring gol terpantas

Dua jaringan Robin Hack termasuk jaringan terpantas Bundesliga musim ini, menyaksikan Borussia Moenchengladbach menang 3-1 ke atas pasukan sedang meningkat naik, Stuttgart, awal pagi tadi.

Hack menjaringkan gol sulung sebagai pemain Gladbach hanya selepas 21 saat perlawanan bermula apabila merembat masuk hantaran Rocco Reitz.

Jaringan itu membuka selera Hack sebelum pemain sayap itu menjaringkan gol kedua peribadi berikutan kesilapan penjaga gol Stuttgart, Alex Nuebel pada minit ke-19, sekali gus mengejutkan pelawat.

Stuttgart yang mengejutkan ramai apabila menduduki tangga ketiga liga setakat ini selepas nyaris tersingkir musim lalu, bergelut di bahagian depan tanpa penyerang utama, Serhou Guirassy, yang kini beraksi di Piala Negara-Negara Afrika bersama skuad kebangsaan Guinea.

Josha Vagnoman menjaringkan gol menarik untuk merapatkan jurang pada babak kedua, namun Gladbach mengesahkan kemenangan pada masa kecederaan menerusi gol Jordan Siebatcheu.

“Anda tidak boleh membayangkan sesuatu yang lebih baik. Saya sangat gembira, saya bekerja keras dan mendapat sedikit balasan pada hari ini,” kata Hack kepada DAZN.

Kemenangan itu menyaksikan Gladbach berada di tempat ke-10 liga.

sumber:- HM

“Anda tidak boleh memulakan perlawanan seperti itu. Anda mesti memulakan perlawanan dengan fokus, bukannya dibolosi selepas 20 saat. Kami kalah perlawanan ini kerana kelemahan pada babak pertama,” kata penyerang Stuttgart, Deniz Undav.