sukan

Impian Viktor Axelsen hancur berkecai

Hasrat perseorangan lelaki nombor satu dunia, Viktor Axelsen untuk mencipta sejarah menjadi pemain luar negara pertama merangkul gelaran hatrik Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila tumpas di separuh akhir di Axiata Arena malam tadi.

Axelsen terpaksa akur dengan kehebatan pilihan ketujuh dari China, Shi Yu Qi apabila dia tumpas 12-21, 21-19, 17-21 dalam aksi selama satu jam 11 minit.

Menurut pemain berusia 30 tahun itu, dia sudah melakukan segala-galanya baik dari segi mental dan fizikal namun berasa kurang selesa minggu ini.

“Saya rasa jika anda lihat secara realistik, walaupun saya sentiasa mahukan kemenangan tetapi pemenang paling berhak adalah Yu Qi. Saya harus memberi penghargaan buatnya dan dia adalah pemain yang lebih baik daripada saya,” kata Axelsen yang muncul juara dua kali berturut-turut pada 2022 dan 2023.

Hanya tiga pemain pernah mencatat kemenangan hatrik di Terbuka Malaysia iaitu iaitu mendiang Wong Peng Soon (1949-1951), Datuk Rashid Sidek (1990-1992) dan Datuk Lee Chong Wei (2004-2006 & 2008-2010).

Yu Qi pula mengakui setiap perlawanan sangat penting buatnya dan cuba memberikan yang terbaik dalam final esok walaupun sekali lagi terpaksa berdepan wakil Denmark, Anders Antonsen.

“Kenapa saya boleh menang hari ini adalah kerana Axelsen pemain hebat dari segi psikologi dia ada kelebihan tetapi tekanan berada di sebelahnya,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Antonsen yang cuba untuk mencatatkan kemenangan hatrik Denmark esok bagi perseorangan lelaki mara selepas mengalahkan wakil Taiwan, Lin Chun Yi 21-16, 21-7.

Dalam perseorangan wanita An Se Young bakal mencipta sejarah jika berjaya mengalahkan Tzu Ying di final esok untuk menjadi pemain perseorangan Korea Selatan pertama merangkul gelaran Terbuka Malaysia.

Dia yang diletakkan sebagai pilihan utama, sebelum itu mara ke final selepas mengalahkan wakil China, Zhang Yi Man 21-17, 21-11, manakala Tzu Ying mara selepas menundukkan rakan senegara Yi Man, Chen Yu Fei 17-21, 21-15, 21-18.

Bagi saingan beregu lelaki, pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty berjaya mengejutkan juara dunia, Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae dengan kemenangan straight set 21-18, 22-20.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan kedua akan menentang Liang Wei Keng-Wang Chang dari China yang mara ke final selepas mengalahkan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun) 21-12, 19-21, 21-13.

Sementara itu bagi saingan beregu wanita, Zhang Shu Xian-Zheng Yu dar China berjaya melakar kejutan dengan menumpakan pilihan kedua dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-17, 21-17.

Menanti mereka di perlawanan akhir ialah rakan senegara, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang berjaya mencatat kemenangan mudah 21-11, 21-16 ketika berdepan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Dalam aksi beregu campuran, pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun mara ke final selepas menumpaskan gandingan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 21-16, 21-16.

sumber:- HM

Mereka akan berdepan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang sebelum itu menyingkirkan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dengan kemenangan 21-15, 12-21, 21-15.