sukan

Datuk Lee Chong Wei panggil Rexy

Berbaki tujuh bulan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024, pemain badminton negara diingatkan untuk keluar daripada zon selesa andai mahu mencipta kejayaan di temasya terbesar dunia itu.

Justeru, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang juga Pengurus Badminton Program Road to Gold (RTG) akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky bagi membincangkan mengenai langkah yang perlu diambil bagi memastikan pemain benar-benar bersedia menghadapi temasya di Paris.

Katanya, pemain negara ketika ini disifatkan terlalu selesa dengan segala kemudahan yang diberikan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga membuatkan mereka mungkin lupa dengan tanggungjawab sebenar.

“Apa yang saya boleh katakan, pemain kita sekarang sangat selesa duduk dalam persatuan. Ini sesuatu yang kita perlu ubah, tahun ini adalah tahun yang sangat penting kerana ada Sukan Olimpik.

“Jadi, saya akan bertemu dengan Rexy bagi membincangkan mengenai perkara ini.

“Saya mahu dengar pandangan daripada Rexy dan jurulatih dahulu kerana mereka yang bersama pemain setiap hari, selepas itu saya akan bagi pandangan atau idea saya pula.

“Ini semua adalah bagi membantu pemain. Kita perlu buat sesuatu yang drastik kerana masa sudah tidak banyak lagi sebelum Sukan Olimpik bermula. Pemain kena sedar dengan tanggungjawab dan bangkit semula,” katanya kepada BH Sukan.

Chong Wei berkata demikian susulan kegagalan barisan pemain negara di PETRONAS Terbuka Malaysia 2024.

Pencapaian terbaik daripada kem skuad kebangsaan pada edisi kali ini adalah menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mara sehingga suku akhir sebelum tewas di tangan juara dunia daripada Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

sumber:- BH

Ini adalah edisi kedua berturut-turut tiada wakil negara yang berjaya mara ke separuh akhir selepas turut mengalami nasib sama pada tahun lalu.