Axelsen mudah singkir bekas Juara Dunia

Pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen memulakan kempen mempertahankan kejuaraan badminton PETRONAS Terbuka Malaysia dengan penuh bergaya apabila mudah menyingkirkan bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew pada pusingan pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Bintang Denmark berusia 30 tahun itu, yang memburu gelaran ketiga berturut-turut, menang 21-13, 21-15 dalam masa 43 minit untuk melebarkan rekod kemenangannya kepada lapan daripada 10 pertemuan dengan juara dunia 2021 itu.

“Saya amat gembira dengan persembahan pusingan pertama saya memandangkan Kean Yew bukan lawan yang mudah, terutama pada pusingan pertama. Jadi, saya benar-benar fokus untuk membawa pelan permainan yang betul hari ini dan saya rasa melaksanakannya dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada pusingan kedua esok, juara Sukan Olimpik dan juara dunia dua kali itu akan berdepan pemain Taiwan, Lee Cheuk Yu, yang menewaskan seorang lagi pemain Denmark, Magnus Johannesen 21-13, 18-21, 21-19.

Ditanya peluang menggondol gelaran hatrik Terbuka Malaysia, Axelsen berkata Malaysia sentiasa menjadi tempat buruan yang menggembirakan buatnya.

“Saya akan cuba melakukan yang terbaik di Malaysia, terutamanya KL (Kuala Lumpur), ia antara tempat kegemaran saya untuk bermain. Jadi saya akan lihat jika boleh menang minggu ini.

“Saya benar-benar bertuah kerana memenangi bukan sahaja Terbuka Malaysia tetapi juga Masters Malaysia di stadium ini, yang merupakan stadium keramat bagi diri saya… gembira berada di sini,” katanya.

Axelsen sebelum ini pernah memenangi Terbuka Malaysia 2022 dan 2023 dan Masters Malaysia 2018 di Axiata Arena, selain muncul naib juara kepada bekas pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada Masters Malaysia 2020.

Baru-baru ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan Axelsen sebagai penerima pendapatan tertinggi Jelajah Dunia 2023, selepas meraih hadiah wang AS$645,095 (kira-kira RM2.99 juta).

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan perseorangan lelaki, pemain nombor 24 dunia, K Srikanth dari India mengejutkan pemain nombor lima dunia, Jonatan Christie dari Indonesia 12-21, 21-18, 21-16.

sumber:- BH

Bekas pemain nombor satu dunia itu akan berdepan Ng Ka Long pada pusingan kedua. Pemain Hong Kong itu menewaskan Kanta Tsuneyama dari Jepun 21-15, 21-9. – BERNAMA