sukan

Atiq dijangka ‘meletop’ musim ini

Selepas membantu Terengganu FC II (TFC II) menjulang trofi Piala MFL musim lalu, pemain tengah, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid dijangka bakal dinaikkan pangkat bersama skuad utama, musim ini.

Jangkaan itu berdasarkan pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu kerap dipanggil beraksi dalam skuad utama kendalian Tomislav Steinbruckner pada kancah Liga Super, musim lalu.

Bagaimanapun, pemain mesra dipanggil Atiq itu berkata, jika tidak mendapat tempat dalam skuad utama, dia tidak kisah sekiranya khidmatnya diperlukan dalam skuad Piala MFL.

“Secara lisan, saya sudah mendapat tawaran daripada pasukan TFC, impian sudah tentu untuk kekal bermain di Terengganu, lagipun saya begitu gembira bermain di sini.

“Impian saya sudah pasti mahu beraksi di Liga Super pada musim ini, tapi saya perlu menanti tawaran secara hitam putih terlebih dahulu daripada TFC.

“Jika tak dapat beraksi dalam Liga Super, saya tidak keberatan untuk bermain dalam skuad Piala MFL dalam misi untuk mengekalkan kejuaraan dimenangi pada musim lalu,” ujar pemain kelahiran Felda Cherul, Kemaman itu ketika dihubungi.

Terdahulu, beberapa pasukan dikatakan turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain serba boleh itu termasuk pasukan dari Utara dan Lembah Klang.

“Saya tidak nafikan ada pasukan berminat mendapatkan khidmat saya pada musim ini, namun saya mahu menabur bakti dengan pasukan negeri kelahiran terlebih dahulu.

sumber:- HM

“Lagipun pada musim lalu, ketua jurulatih TFC, Tommy (Steinbruckner) beberapa kali memanggil saya beraksi dalam skuad utama, jadi keserasian sudah ada,” katanya.