sukan

Arif Aiman dinobat pemain dengan nilai tertinggi

Pemain sensasi negara, Arif Aiman Hanapi menjadi pemain Harimau Malaya dengan nilai tertinggi dalam Pasukan Fantasi Piala Asia 2023 di laman sesawang Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Arif Aiman menjadi satu-satunya pemain negara yang memiliki nilai dua angka sekali gus mengangkat pemain berusia 22 tahun itu sebagai penyerang kelima termahal dalam senarai semua penyerang dalam Pasukan Fantasi Piala Asia 2023.

Setakat ini, sebanyak 16.5 peratus penyokong yang menyertai Pasukan Fantasi Piala Asia 2023 sudahpun meletakkan pemain lincah itu dalam pasukan masing-masing.

Pemain Malaysia dengan nilai kedua tertinggi adalah Safawi Rasid (9.5) sementara beberapa pemain lain bernilai 9 seperti Faisal Halim, Akhyar Rashid dan Afiq Fazail.

Secara keseluruhan, penyerang termahal dalam pasukan Fantasi Piala Asia 2023 yang juga pemain dengan nilai tertinggi adalah penyerang AS Roma, Sardar Azmoun (Iran) dengan nilai 12.5.

Ia disusuli penyerang sensasi Tottenham Hotspur dari Korea Selatan, Son Heung Min, Almoez Ali (Qatar) dan Ali Mabkhout (UAE) dengan 12 sementara Mehdi Taremi (Iran) bernilai 11.5 dan Akram Afif (Qatar) pula dengan nilai 11.

Beberapa pemain yang ‘setaraf’ dengan Arif Aiman apabila bernilai 10 adalah Omar Khribin (Syria), Mitchell Duke (Australia), Hassan Al Haydos (Qatar) dan Hwang Hee Chan (Korea Selatan).

Bagi senarai pemain tengah, Kaoru Mitoma menjadi pemain termahal dengan nilai 10.5 sementara beberapa pemain lain berharga 9 seperti Salem Al Dawsari (Arab Saudi), Nguyen Quang Hai (Vietnam), Supachok Sarachat (Thailand) dan Takumi Minamino (Jepun).

Pemain India, Nikhil Poojary dan pemain Kyrgystan, Kayrat Zhylgarbek muncul pertahanan dengan nilai tertinggi (7) sementara empat penjaga gol diletakkan dengan nilai tertinggi iaitu 6.

Empat penjaga gol itu adalah Saad Al Sheeb (Qatar), Matt Ryan (Australia), Kim Seung Gyu (Korea Selatan) dan Alireza Beiranvand (Iran).

sumber:- BH

Sebagai rekod, Pasukan Fantasi Piala Asia 2023 memiliki konsep sama seperti Pasukan Fantasi Liga Perdana Inggeris (EPL) di mana peserta perlu membentuk pasukan terdiri daripada 15 pemain dengan bajet 100 juta.