sukan

Kedah sekali lagi dikaitkan

Adakah benar desas-desus tersebar di media sosial ketika ini menyatakan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) sedang mengalami masalah tunggakan gaji sehingga pemain tidak dibayar gaji hampir lima bulan?.

Jika perkara ini benar, sudah pasti KDA dilihat lebih ‘menonjol’ tidak membayar gaji pemain namun diberikan lesen kebangsaan sementara Kelantan FC pula yang hanya mengalami tunggakan empat bulan gaji kini di ambang penyingkiran daripada Liga Malaysia tahun ini.

Difahamkan juga, tunggakan gaji itu bermula sejak Ogos sehingga sekarang membabitkan skuad utama Liga Super dan pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) dan menerusi berita yang viral itu juga mendakwa ada beberapa pemain mula mencari haluan baharu.

Sumber dalaman dipercayai turut mengesahkan pasukan itu sememangnya mengalami tunggakan gaji tetapi untuk pemain, hanya tiga bulan yang belum dibayar dan pihak pengurusan memaklumkan untuk melunaskan tunggakan itu kepada pemain pada bulan ini.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan Kelantan FC muncul pasukan pertama musim depan yang gagal mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak dibenarkan beraksi di saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi First Instance Body (FIB) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dan keputusan berkenaan pastinya memberi tamparan hebat buat seluruh rakyat Kelantan amnya dan peminat skuad The Red Warriors (TWR) khususnya.

sumber:- HM

Bagaimanapun, Kelantan FC ketika ini dalam proses rayuan dan menanti keputusan muktamad FIB.