Semua pemain adalah sama cuma membezakan adalah corak permainan dan kesungguhan yang ditampilkan mereka untuk meraih kemenangan di pentas Piala Asia.
Perkara itu ditekan bekas kapten pasukan kebangsaan Safee Sali yang melihat kehadiran pemain berstatus bintang membabitkan lawan dalam kumpulan E bukanlah perkara yang harus dibimbangkan.
Safee berkata, walaupun beberapa pasukan seperti Korea Selatan yang mengumumkan memanggil bintang mereka di Eropah namun perkara itu seharusnya diambil sebagai cabaran kepada pemain negara untuk berusaha memperoleh keputusan positif kelak.
“Kita harus berbangga, walaupun pasukan lain mempunyai bintang yang beraksi di Eropah namun pemain seperti Arif Aiman Hanapi tetap menjadi perhatian di kejohanan Piala Asia.
“Mereka hanya perlu yakin dengan kebolehan mereka sendiri, bermain sebagai satu pasukan kerana apabila anda yakin dengan kebolehan sendiri maka tidak sepatutnya timbul isu. Kamu boleh mengalahkan sesiapa Sahaja jika percaya kepada diri,” katanya.
Selain itu, bekas pemain Kuala Lumpur City (KL City) FC itu berkata, berdasarkan kepada kemampuan skuad kendalian Kim Pan-gon kemungkinan tidak mustahil mereka mampu melangkah ke pusingan 16 terbaik.
“Jika lepas ke pusingan 16 terbaik, ia adalah bonus untuk mereka. Sebagai peminat dan penganalisis bola sepak, saya hanya mahu melihat mereka pergi sejauh mungkin.
“Walaupun, hakikatnya sukar untuk melangkah lebih jauh namun pada saingan Piala Asia ini segalanya boleh berlaku,” katanya.
Sebelum itu, Arena Metro melaporkan nama Arif Aiman terus menjadi sebutan di peringkat antarabangsa apabila disenaraikan antara pemain tumpuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada penampilan di pentas Piala Asia 2023 di Qatar.
Arif yang juga pemain lincah Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam senarai 22 pemain yang harus diberikan perhatian sekali gus menyaksikan nama Malaysia harum di peringkat Asia.
sumber:- HM
Pemain berusia 22 tahun sebaris dengan kapten Korea Selatan Son Heung Min, Mostafa Matar dari Lubnan, Oday Dab-bagh dari Palestin, Jameel Al Yahmadi dari Oman, Akram Afif dari Qatar, Salem Al Dawsari (Arab Saudi) dan Alisher Dzhalilov (Tajikistan).