Bekas pemain kebangsaan dan legenda bola sepak Kelantan, Wan Ezila Wan Daud meninggal dunia awal pagi tadi.
Pemergian bintang bola sepak itu dikongsi beberapa kelab penyokong bola sepak Kelantan dan sahabat arwah di laman sosial Facebook sejak pagi tadi.
Dimaklumkan, Allahyarham meninggal dunia jam 1.30 pagi tadi.
Sahabat baik Allahyarham, Zahasmi Ismail berkata, beliau mendapat panggilan berhubung pemergian Wan Ezila, 59, pada jam 3 pagi menerusi salah seorang sahabat mereka.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa Allahyarham pada dua hari lalu dan Allahyarham difahamkan tidak mempunyai sebarang penyakit.
“Cuma dia mengadu sakit perut sebab angin dan sudah pergi mengurut. Saya anggap pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat Kelantan, tambahan pula baru sahaja bersamanya menubuhkan Akademi Kijang Muda sejak lima bulan lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zahasmi yang juga bekas Ketua Jurulatih Kelantan FC berkata, Allahyarham seorang yang komited tentang dunia bola sepak meskipun sudah ‘gantung but’ sejak 1994.
Wan Ezila antara watak penting pasukan Kelantan dan Terengganu pada tahun 1980 dan 1990-an.
Zahasmi berkata, dia mula mengenali Wan Ezila yang dikenali dengan fizikal kecil-kecil cili padi sejak berusia 17 tahun ketika sama-sama menyertai skuad Piala Presiden.
Katanya, Wan Ezila antara harapan untuk mengilap bakat skuad bawah 16 tahun menerusi Kijang Muda dengan bertindak sebagai ketua jurulatih.
“Walaupun sudah pencen bermain bola, namun Allahyarham tetap menyumbang dalam bidang kejurulatihan. Malah, petang semalam Allahyarham sempat melatih pasukan untuk perlawanan hari ini,” katanya.
Katanya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Maras, Kota Bharu.
Pemain tengah itu pernah beraksi sezaman dengan Allahyarham Hashim Mustafa, Salim Mahmud dan Mohd Noor Yaakob.