sukan

Syafiq Ahmad tiada dalam radar pasukan

Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad tiada dalam radar pasukan Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut sumber Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, setakat ini tiada rundingan dan perbincangan untuk membawa masuk penyerang Harimau Malaya kelahiran Pulau Pinang itu ke Terengganu.

Sebelum ini pemain berusia 28 tahun itu dikhabarkan turut diintai naib juara Piala Malaysia musim lalu itu bersama dua lagi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

“Setakat ini tiada rundingan untuk membawa pemain JDT itu (Muhammad Syafiq) beraksi bersama TFC secara pinjaman pada musim ini.

“Rundingan sebelum ini dengan pihak pengurusan JDT hanya terarah untuk mengikat Safawi dan Akhyar secara pinjaman menyarung jersi TFC.

“Spekulasi yang mengaitkan Syafiq beraksi bersama TFC hanyalah khabar angin,” demikian menurut sumber itu ketika dihubungi.

Terdahulu Safawi mengesahkan dia bakal menyarung jersi pasukan negeri kelahirannya, TFC pada musim ini selepas tujuh tahun berkelana di luar Terengganu.

sumber:- HM

Setakat ini, TFC sudah menyambung kontrak penyerang import kelahiran Croatia, Ivan Mamut manakala bekas penyerang Kelantan United, Ismaheel Akinade masih lagi dalam proses rundingan.