sukan

Nilai Arif Aiman ‘menggila’

Nilai pasaran bintang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dijangka boleh mencecah hingga RM5 juta pada masa akan datang.

Ketika ini, laman antarabangsa, transfermarkt.com meletakkan tanda harga €550,000 atau RM2.8 juta buat pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2021 dan 2022 itu.

Berdasarkan kemas kini terbaharu laman berkenaan, nilai pasaran Arif Aiman meningkat RM500,000 berbanding RM2.3 juta pada Mei lalu.

Malah, nilai itu menyaksikan pemain kelahiran Pahang itu memintas ‘tanda harga’ mesin gol JDT, Bergson Da Silva yang kini bernilai RM2.3, turun RM250,000 berbanding Mei lalu.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan peningkatan nilai pasaran Arif Aiman dipengaruhi beberapa faktor terutama dari segi prestasinya bersama kelab.

Beliau yang juga ejen pemain berkata, kejayaan JDT menjulang banyak piala dalam Liga M turut mempengaruhi peningkatan tanda harga Arif Aiman.

“Prestasi dia (Arif Aiman) bagus termasuk di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Liga Malaysia (Liga M). Dia pun banyak menjaringkan gol selain membantu JDT memenangi banyak piala.

“Usianya masih muda dan dia juga beraksi dengan baik bersama skuad kebangsaan. Faktor itu semua mempengaruhi peningkatan nilai pasarannya.

“Mungkin selepas Piala Asia nanti nilai dia boleh capai €1 juta (RM5 juta) jika dia menyinar dalam kejohanan itu. Ia kerana Piala Asia adalah platform antarabangsa.

“Meskipun Bergson turut mempamerkan prestasi yang baik bersama JDT, namun kelebihan Arif Aiman adalah kerana usianya masih muda selain dia turut beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya kepada BH Sukan.

Nilai pasaran yang dimiliki Arif Aiman meletakkan dia sebagai pemain Liga M kelima termahal musim ini selepas Jordi Amat (RM4 juta), Fernando Forestieri (RM3.5 juta), Nurillo Tukhtasinov (RM3.5 juta) dan Takahiro Kunimoto (RM3.5 juta).

Arif Aiman juga berada di kedudukan keempat pemain termahal dalam skuad JDT selepas Jordi, Forestieri dan Kunimoto, sekali gus mengatasi beberapa pemain import termasuk Bergson, Oscar Arribas, Juan Muniz dan Heberty Fernandes.

sumber:- BH

Pemain Muda Terbaik Liga M 2021 dan 2022 itu muncul pemain banyak melakukan bantuan jaringan dalam Liga Super musim ini iaitu sebanyak 12 bantuan gol selain meledak 12 gol dalam Liga Super, lima gol (Piala Malaysia) dan empat gol (Piala FA).