sukan

JDT sumbang RM2.9 juta

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mendermakan RM2.9 juta hasil dari kutipan tiket dan hadiah wang kejuaraan Liga Super yang dimenangi skuad Harimau Selatan.

Juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu dalam kenyataan memaklumkan sumbangan berkenaan akan diberikan untuk bantuan kemanusiaan Palestin dan program khidmat masyarakat Yayasan JDT.

“JDT akan menderma RM1.017 juta daripada enam perlawanan di laman sendiri dari November kepada usaha kemanusiaan di Palestin.

“Wang hadiah Liga Super Malaysia sebanyak RM1.9 juta pula akan disalurkan kepada Yayasan JDT untuk pelbagai program khidmat masyarakat.

“JDT sudah menyumbangkan kesemua hadiah wang untuk tujuan amal sejak kelab ditubuhkan pada 2013,” jelas kelab itu.

JDT mencipta sejarah apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super selama sedekad sejak 2014 selain turut melakar rekod baharu meledak 100 gol dalam semusim pada musim ini.

sumber:- BH

Selain itu, kelab milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu turut muncul pasukan pertama meraih ‘double quadruple’ atau memenangi empat piala dalam satu musim pada 2022 dan 2023.