sukan

Bergson tidak jangka VAR bawa tuah

Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva tidak menjangka teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) bagaikan mencetus kebangkitan pasukan itu menewaskan BG Pathum United FC 4-1 pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Bergson yang dinobat selaku pemain terbaik perlawanan berkata, teknologi berkenaan sememangnya beri kesan membantu kebangkitan JDT meraih kemenangan dalam perlawanan selepas ketinggalan 0-1 pada babak pertama.

Dia yang sudah meledak 106 gol bersama skuad Harimau Selatan mengakui tidak menduga apabila pengadil perlawanan dari China, Ma Ning menunjuk ke arah kotak penalti pasukan lawan selepas melihat monitor khas yang disediakan di tepi padang.

“Memang terkejut ketika diberikan penalti kerana saya menanduk bola hasil sepakan sudut Heberty (Fernandes) dalam keadaan menutup mata jadi saya tidak nampak sama ada pemain lawan ada menyentuh bola menggunakan tangan atau tidak. Semuanya berlaku dengan pantas.

“Tetapi sistem VAR menunjuk dengan jelas bahawa pemain BG Pathum menghalang bola dengan menggunakan tangan dan kami gembira dengan keputusan pengadil perlawanan dan ia memberi impak positif,” katanya.

Ditanya mengenai perjalanan JDT terhenti pada peringkat kumpulan selepas gagal mengulangi pencapaian pada musim lalu, Bergson enggan terlalu bersedih dan menganggap rezeki tidak memihak buat juara Liga Super 10 musim berturut-turut.

sumber:- HM

Jelasnya, musim ini menjadikan JDT sebagai satu pasukan yang lain daripada yang lain terutama dari aspek kekeluargaan dalam satu pasukan malah ia adalah kunci utama bagi membentuk persefahaman dan sentiasa bersatu tidak kira menang atau kalah.