Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa sudah tiba masanya semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) dan negeri memperbaiki kualiti padang ke tahap terbaik.
Mengambil contoh Stadium Sultan Ibrahim, Tunku Ismail menjelaskan bahawa gelangang keramat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak lecak dan tiada takungan air meskipun cuaca hujan.
Pemilik JDT itu berkata, sebab itu pentingnya padang dan sistem perparitan yang bagus bagi setiap venue yang digunakan untuk perlawanan.
Malah, beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap saingan Liga M musim hadapan yang akan berlangsung pada musim hujan.”Tiada lecak, tiada takungan air. Sistem perparitan terbaik!,” kata TMJ di laman Facebook miliknya beserta gambar padang di Stadium Sultan Ibrahim.
“Soalan saya kepada MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) memandangkan Liga M akan berjalan ketika musim hujan/monsoon bermula musim hadapan. Adakah kami akan bermain atas sawah padi di stadium lain?
“Inilah sebab pentingnya mempunyai padang permainan dan sistem perparitan yang bagus. Sudah sampai masa semua pasukan dan negeri memperbaiki padang stadium masing-masing.”
Ia bukan kali pertama TMJ menyuarakan mengenai kualiti padang di stadium bola sepak di negara ini yang mana dijadikan sebagai gelanggang rasmi pasukan Liga M.
sumber:- BBH
Malah, TMJ sebelum ini turut menyumbang rumput jenis Zeon Zoysia kepada Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi membolehkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya dapat beraksi di atas permukaan padang yang lebih berkualiti.