sukan

Malaysia tiada masalah bedal Mesir

Skuad hoki remaja lelaki negara menunjukkan kebangkitan diharapkan apabila mudah mengatasi Mesir 4-1 pada aksi klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16 Piala Dunia Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pasukan kendalian Muhammad Amin Rahim yang sudah melupakan detik hitam gagal ke suku akhir Jumaat lalu, memulakan aksi klasifikasi dengan garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi gol padang Mohammad Harris Iskandar Osman.

Jaringan itu secara tidak langsung membangkitkan semangat pasukan apabila kapten Young Tigers, Muhamad Faris Harizan turut meledak jaringan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-16 untuk meletakkan Malaysia berada di kedudukan selesa.

Pemain tengah Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar kemudian menambah derita Mesir pada minit ke-44 hasil pukulan sudut penalti sebelum Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar meledak jaringan selang enam minit kemudian.

Mesir yang dikendali Anis Khaled berjaya pada akhirnya membocori gawang gol negara menerusi gol padang Basel Abdelmonem pada minit ke-59.

Malaysia memperoleh 16 pukulan sudut penalti namun hanya berjaya menyempurnakan tiga daripadanya dan ia dilihat perlu diperkemaskan lagi seandainya Young Tigers mahu mencapai misi penamat di kedudukan kesembilan keseluruhan.

sumber:- BH

Malaysia akan berdepan sama ada Belgium atau Kanada bagi klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12 Rabu ini.