sukan

Jika terjadi , Harimau Malaya juga susah

Kecederaan seperti buku lali, lutut dan groin antara risiko perlu dihadapi beberapa tonggak skuad Harimau Malaya yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila turun berdepan Terengganu FC yang akan bermain di atas padang yang tidak rata di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Kebimbangan risiko kecederaan itu diluahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas beliau sendiri datang ke SNBJ melakukan ‘sport check’ ketika sesi latihan rasmi skuad Harimau Selatan malam semalam.

Jelas Tunku Ismail, perkara paling membimbangkannya adalah ancaman kecederaan yang boleh berlaku kepada beberapa tonggak kebangsaan ketika saingan Piala Asia di Qatar hanya berbaki sebulan sahaja lagi.

Katanya, keadaan padang tidak rata pastinya menyukarkan pergerakan termasuk kualiti perlawanan akhir Piala Malaysia yang seharusnya berjalan dalam suasana pantas dan sengit.

“Main boleh main. Tetapi ‘quality game’ akan ‘low’. Yang membimbangkan adalah pemain utama pemain kebangsaan macam Corbin (Ong), Arif Aiman (Hanapi), Matthew Davies, Endrick Dos Santos, Shahrul Saad dan Afiq Fazail cedera.

“(Risiko cedera) buku lali, peha, lutut dan groin oleh kerana padang tak rata. Bulan depan Piala Asia di Qatar,” kata Tunku Ismail di laman Instagram.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan padang SNBJ tampaknya tidak ubah seperti seluar jeans lusuh yang bertampal-tampal sekaligus menggambarkan ketidaksempurnaan padang di venue berprestij itu.

Menerusi tinjauan di SNBJ semalam, didapati permukaan padang tidak bersedia lagi untuk ‘menyambut’ aksi final Piala Malaysia di antara JDT dan Terengganu FC malam ini.

Terdapat dua bahagian dilihat bertampal dan tidak rata terutama di bahagian tengah padang dan belakang padang di sebelah kanan dari arah tempat duduk kenamaan.

Malah dalam sidang media praperlawanan itu, pemain JDT iaitu Jordi Amat mengakui tidak gembira dengan permukaan padang yang boleh merencatkan permainan pasukannya.

Isu kecederaan turut menjadi topik hangat di mana keadaan padang yang tidak sempurna boleh mendatangkan risiko kecederaan buat pemain kedua-dua pasukan.

Malah, jika kerisauan yang dibangkitkan Tunku Ismail itu diambil kira, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon pastinya resah ketika kempen Piala Asia hanya tinggal empat minggu sebelum ia berlangsung.

sumber:- HM

Di Qatar nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Jordan dan Korea Selatan dengan aksi pertama skuad negara pada 15 Januari depan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub.