sukan

Sedia hadap JDT sampai penalti

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menegaskan pemainnya sudah bersedia jika final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat ini diheret hingga ke masa tambahan serta penentuan sepakan penalti.

Pengendali dari Croatia itu berkata, selain fokus 90 minit, beliau turut menekankan kepada latihan meningkatkan kecergasan bagi memastikan pemain dapat bertahan serta berjuang membawa pulang piala yang kali terakhir dimenangi Terengganu pada tahun 2001.

Bagaimanapun jelasnya, jika boleh beliau mahu memastikan kejuaraan dalam masa sebenar permainan.

“Jika perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti, kami sudah bersedia, lagipun kami juga memberi penekanan khusus mengenai perkara itu ketika sesi latihan.
“Namun jika pemain berjaya menamatkan saingan 90 minit dengan membawa pulang trofi itu ke Terengganu ia lebih baik kerana dalam penentuan sepakan penalti macam-macam boleh berlaku selain pasti memenatkan pemain pada masa tambahan,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini petang semalam.

Ketika ditanya adakah pasukannya tertekan berdepan pasukan gergasi bola sepak tempatan lebih-lebih lagi rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini memihak kepada skuad Harimau Selatan, jurulatih yang lebih mesra dipanggil Tommy itu mengakui anak buahnya tidak tertekan.

Katanya, pengalaman sesetengah pemainnya berdepan JDT pada aksi final Piala FA musim lalu selain beraksi di pentas Asia dalam saingan Piala AFC musim ini mematangkan mereka.

“Ya, kami sedar kualiti yang ada pada pemain JDT lebih baik berbanding kami, mereka mempunyai hampir keseluruhan pemain kebangsaan selain rekod baik pasukan itu musim ini dan sebelumnya.

sumber:- BH

“Tetapi dalam sukan bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku terutama pada aksi final, kami harap dapat mengejutkan skuad itu lebih-lebih lagi semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan kecuali pertahanan kiri, Alif Zakaria,” katanya.