sukan

Harap ada tuah

Keputusan positif pada aksi Jelajah Dunia Akhir dekat Hangzhou, China bermula 13 hingga 17 Disember ini cukup penting untuk beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ini kerana, pencapaian di Hangzhou akan dapat memberikan gambaran prestasi mereka apabila beraksi di depan ribuan penyokong sendiri iaitu di Terbuka Malaysia yang berlangsung dari 9 sehingga 14 Januari tahun depan.

“Kami belum cukup sempurna tapi pada Jelajah Dunia Akhir ini, saya harap kami tutup dengan kegembiaraan, kami mahukan ‘happy ending’.

“Keputusan yang baik di Jelajah Dunia Akhir amat penting kerana kami mahu bawakan momentum yang baik untuk bermula pada 2024 iaitu di Terbuka Malaysia,” kata Aaron.

Pada tiga kejohanan terakhir Jelajah Dunia 2023 iaitu di Terbuka Perancis dan Masters Jepun serta China, Aaron-Wooi Yik gagal memperaga aksi mantap apabila tersingkir di pusingan awal.

Kegagalan Aaron-Wooi Yik menamatkan saingan di tiga kejohanan terbabit pada kedudukan terbaik iaitu sekurang-kurangnya ke suku akhir menyebabkan ranking dunia mereka jatuh satu anak tangga di kedudukan ketiga selepas dipintas gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Selain Aaron-Wooi Yik, Tujuh lagi pasangan yang layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir adalah beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia), Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Muhammad Shohibul Fikri-Baga Maulana (Indonesia).

sumber:- HM

Aaron-Wooi Yik pernah beraksi di tiga edisi Jelajah Dunia Akhir iaitu pada tahun 2019, 2020 dan 2022, namun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.