sukan

Subkhiddin puji Dion Cools tidak ikut campur

Tenaga Pengajar Teknikal Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Subkhiddin Mohd Salleh memuji tindakan pemain kebangsaan, Dion Cools yang cuba meleraikan pergaduhan membabitkan Zhejiang FC dan Buriram United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam tadi.

Kata Subkhidin, tindakan Cools yang juga pemain Buriram United itu harus dipuji kerana tidak terbabit dalam insiden berkenaan.

“Saya ada pengalaman berdepan situasi itu dan apa yang ditunjukkan Cools harus dipuji dan jadi ikutan buat pemain lain,” katanya.

Subkhidin yang kini turut berkhidmat sebagai Ketua Tenaga Pengajar Pengadil dan Penasihat Pembangunan Pengadil di Persatuan Bolasepak Korea (KFA) mengakui kemungkinan pemain dan kelab yang mencetuskan pergaduhan itu bakal dikenakan hukuman oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Biasanya pengadil akan membuat laporan penuh mengenai perlawanan, dan perkara sama akan dibuat.

“Mungkin pemain boleh dikenakan hukuman apabila punca provoksi akan dinilai untuk menentukan kesalahan.

“Apa yang dilakukan Cools (meleraikan) satu tindakan terpuji. Kita ucapkan tahniah buat Cools yang tidak terbabit dengan insiden itu,” katanya.

Sementara itu, AFC sedia menyiasat punca insiden pergaduhan yang tercetus sebaik aksi Kumpulan H itu berakhir.

Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, pihaknya bakal meneliti laporan daripada komisioner perlawanan (MC) sebelum memutuskan sebarang bentuk hukuman.

“Tunggu laporan pengadil dan MC. Kita tunggu laporan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, sikap tenang Cools disamping tidak beremosi daripada terbabit dalam insiden ‘kung fu dan muay thai’ mendapat pujian peminat di laman sosial.

Cools yang juga pemain skuad Harimau Malaya bertindak matang apabila tidak terbabit dalam pergaduhan di Pusat Sukan Huzhou Olimpik.

Buriram United tumbang 2-3 kepada pasukan Zhejiang FC dalam aksi penting buat kedua-dua pasukan bagi menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan berikutnya.

sumber:- HM

Menerusi video berdurasi 2 minit 45 saat yang tular di laman sosial itu mendapati rakan sepasukan Cools, Ramil Sheydayev dibelasah oleh pemain tuan rumah ekoran provokasi pemain Buriram United selepas kekalahan itu.