Penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ifedayo Olusegun sudah bersedia untuk mengecewakan bekas pasukannya, Selangor pada aksi penting Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.
Ifedayo yang meledak 50 gol sepanjang 43 penampilan bersama Selangor dari 2019 hingga 2021 berkata, motivasinya kini melonjak selepas meledak empat jaringan pada aksi menentang Kelantan FC Ahad lalu.
“Bagi saya, sesiapa sahaja boleh jaringkan gol apabila memiliki peluang dan apa yang lebih penting buat kami adalah untuk memastikan gol itu boleh memberi kemenangan buat pasukan,” katanya.
Pertemuan Kedah dan Selangor itu pasti menarik tumpuan kerana kedua-dua pasukan sedang bersaing sengit memburu tempat kedua sekali gus meraih slot ke Asia musim depan.
Ifedayo yang sudah meledak 12 gol bersama Kedah pada saingan Liga Super setakat ini, optimis skuad kendalian Nafuzi Zain boleh memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk membenam Selangor dengan aura dan sokongan ribuan penyokong Sang Kenari.
“Saya yakin dengan momentum terbaik yang telah kami miliki setakat ini, kami mampu memberi tentangan yang sengit kepada Selangor pada perlawanan ibarat final itu.
“Walaupun atas kertas Selangor memiliki kelebihan, usah memandang rendah dengan kemampuan Kedah kerana kami pernah buktikan sesuatu ketika menentang skuad JDT di laman sendiri sebelum ini.
“Saya tahu Selangor berada dalam keadaan prestasi tinggi ketika ini, dan sudah pasti kami akan memberi aksi terbaik pada perlawanan yang sangat dinantikan itu,” katanya.
sumber:- BH
Pada aksi pertama antara kedua-dua pasukan Mei lalu, Kedah tewas 2-3 kepada skuad Red Giants ketika beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).