Bila Arif Aiman Hanapi boleh berehat?. Itu persoalan yang timbul selepas pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar memohon ‘restu’ pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya ‘mengizinkan’ Arif Aiman menyertai Piala Asia B-23, April depan.
Berdasarkan jadual, pemain sensasi itu tampaknya ‘sibuk’ tahun depan dan penyertaannya dalam Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) dilihat bakal menambah lagi ‘beban’ buat pemain muda itu.
Bermula Januari, pemain berusia 21 tahun itu akan terbabit dalam Piala Asia di Qatar untuk tiga perlawanan berdepan Jordan (16 Januari), Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari) dan khidmatnya akan terus digunakan jika Harimau Malaya layak ke peringkat seterusnya.
Jika Johor Darul Ta’zim (JDT) melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL), mereka akan bersaing dalam pusingan 16 terbaik dijadual 12 hingga 14 Februari dan 19 hingga 21 Februari.
Seandainya JDT mencipta kejutan mara ke suku akhir ACL, ada perlawanan menanti mereka pada 4 hingga 6 Mac dan 11 hingga 13 Mac sebelum skuad kebangsaan akan turun bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Oman pada 21 dan 26 Mac.
Memasuki April, pasukan akan mula mengharungi pramusim sebelum liga musim baharu bermula dan Piala Asia B-23 akan membuka tirainya bermula 15 April.
Mengulas mengenai situasi itu, Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menegaskan sekalipun Arif Aiman sememangnya berbakat namun dia tidak boleh ‘dihenyak’ untuk turun dalam semua pertandingan peringkat usia.
Menurutnya, ini bagi mengelak pemain itu mengalami sindrom ‘burn out’ yang sudah pasti mampu menjejaskan prestasinya ketika beraksi.
“Kita jangan terlalu ghairah mendedahkan dia dengan pelbagai pertandingan, sudah beraksi di peringkat senior tetapi kita nak dia main di B-23 pula. Kita kena teliti supaya kita tak sampai ‘over used’ dia walaupun kita tahu dia memang berbakat.
“Kita bimbang perkara ini memberi risiko kecederaan apatah lagi kalau berdepan kecederaan serius yang mungkin mematikan terus kariernya. Banyak contoh di Eropah apabila pemain muda bermain macam macam perlawanan peringkat usia, akhirnya mengalami kecederaan.
“Jadi kita kena tengok periodisasi latihan dan permainan juga. Kita harus tatang Arif Aiman bagi minyak yang penuh supaya kita dapat gunakan khidmatnya sampai dia bersara, bukan terbantut sebelum masanya,” katanya.
Terdahulu, Shahril menyifatkan menganggap kehadiran Arif Aiman mampu memberikan motivasi yang lebih besar khususnya buat barisan pemain muda negara untuk memberikan aksi yang terbaik pada saingan di Qatar itu.
sumber:- BH
Meskipun sedar betapa hasrat itu adalah satu permintaan yang agak berat memandangkan saingan Piala Asia B-23 itu berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) namun beliau mengharapkan perkara itu dapat dipertimbangkan.