Sri Pahang FC bakal berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang petang esok tanpa lima tonggak akibat kecederaan dan penggantungan.
Mereka adalah penyerang utama, Kpah Sherman, Kevin Ingreso, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Nur Shamie Iszuan Amin dan Zuhair Aizat Mohd Nazri.
Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, Sherman dan Ingreso yang baharu pulang menyarung jersi negara masing-masing mengalami kecederaan termasuk Nur Shamie dan Zuhair Aizat.
“Azrif Nasrulhaq pula digantung satu perlawanan kerana mengutip tiga kad kuning yang memberi kesan terhadap persembahan keseluruhan Sri Pahang apabila berdepan tuan rumah, esok.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan keadaan yang berlaku, sebaliknya mengharapkan pemain bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata dan tidak boleh leka kerana perjuangan belum lagi selesai.
“Ini kerana peluang masih ada untuk memperbaiki kedudukan kita iaitu mencapai matlamat kedudukan kelima atau keempat. Bagaimanapun, Penang mempunyai kekuatan di bahagian serangan yang diketuai oleh Sonny Saad dan pemain tengah, Adriano Narcizo serta pemain tinggi lampai, Rafael Vitor.
“Oleh itu semua pemain perlu kekal konsisten dan berwaspada terutama membabitkan hantaran bola tinggi,” kata legenda bola sepak Singapura itu.
Bagi memastikan misi mengutip tiga mata terlaksana, Fandi mahu anak buahnya berjuang dengan sepenuh hati dan lebih berdisiplin serta tidak mempersia-siakan peluang yang ada.
“Nasihat saya supaya mempamerkan permainan yang terbaik dan menyakinkan buat pasukan iaitu 100 peratus untuk mencapai tiga mata dan kedudukan yang terbaik di liga musim ini,” katanya.