sukan

Peluang terbaik untuk Malaysia terus ‘makan besar’

Skuad Harimau Malaya berkunjung ke Taipei bagi aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dengan motivasi tinggi selepas menundukkan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu.

Bakal menentang Taiwan di Stadium Perbandaran Taipei malam ini, anak buah Kim Pan Gon tampil sebagai pilihan berdasarkan kedudukan ranking lebih baik di mana Malaysia (137) berada 15 anak tangga mengatasi lawan (152).

Justeru, ini peluang terbaik untuk Malaysia terus ‘makan besar’ selepas mereka berjaya mengaut 15.49 mata hasil kejayaan dramatik ke atas Kyrygzstan sekali gus meletakkan mereka di tangga ke-130 dunia secara tidak rasmi ketika ini.

Perlawanan ini menawarkan tambahan 10.66 mata buat Malaysia jika berjaya menundukkan skuad bimbingan Gary White itu namun keputusan selain dari kemenangan akan menyaksikan skuad negara kehilangan mata.

Jika mereka pulang dengan satu mata, mereka akan kehilangan 1.84 mata dan sekiranya mereka tewas, mereka berpotensi kehilangan 14.34 mata – aksi kelayakan adalah ‘perjudian’ yang besar buat semua pasukan bertanding.

Menang memberikan mata lumayan buat mereka namun keputusan tidak memberangsangkan juga membolehkan mereka hilang mata yang besar malah Malaysia belum mampu menewaskan Taiwan sejak 2000.

Sejak 2000, skuad Harimau Malaya tewas tiga kali di tangan Taiwan dengan dua daripadanya dilakar di Taipei – kekalahan 2-3 pada 2011 pada aksi Kelayakan Piala Dunia dan 0-2 pada aksi persahabatan 2018.

Justeru ini bukanlah aksi yang boleh dipandang mudah buat anak buah Pan Gon namun kemenangan bakal membolehkan mereka menutup 2023 dalam kedudukan ranking yang lebih baik menjelang Piala Asia, Januari ini.

Berdepan Taiwan, ini juga peluang Pan Gon membuat sedikit rombakan daripada skuad yang berhempas pulas menentang Kyrgyzstan dan menurunkan barisan pemain yang lebih ‘segar’ malam ini.

Mungkin ada perubahan dari segi jentera tengah khususnya buat penyokong yang menantikan sentuhan Afiq Fazail yang tidak diturunkan pada aksi pertama selain beberapa lagi pemain yang belum lagi ‘berpeluh’.

sumber:- BH

Jika ‘dibebaskan’ Pan Gon, ini adalah kesempatan terbaik mereka menunjukkan kemampuan dan ‘mengganas’ di Taipei.