sukan

Makin hampir pintas Mokhtar Dahari

Romelu Lukaku meledak empat gol ketika Belgium membelasah Azerbaijan 5-0 dalam aksi kelayakan Kumpulan F Euro 2024.

Jaringan itu melonjakkan dirinya ke tangga ketujuh senarai penjaring gol antarabangsa terbanyak sepanjang zaman dengan 83 gol – enam gol di belakang legenda Malaysia, Mokhtar Dahari.

Bekas penyerang Manchester United itu melengkapkan hatrik dalam tempoh 30 minit pertama dan meledak gol keempatnya tidak lama kemudian sebelum Leandro Trossard menjaringkan gol kelima Belgium pada minit ke-90.

Belgium sudah mengesahkan kelayakan ke kejohanan tahun depan di Jerman lebih awal dan kemenangan itu mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan, satu mata di depan Austria.

Lukaku yang ketika ini dipinjamkan ke Roma oleh Chelsea, terikat dengan legenda Iran, Ali Mabkhout dalam senarai penjaring, dan memintas penyerang Poland, Robert Lewandowski.

Dia berpeluang memintas legenda Hungary, Ferenc Puskas yang hanya berkelebihan satu gol sebelum Euro 2024 bermula.Bagaimanapun peluang untuk berada dalam kelompok empat teratas sedikit sukar buat Lukaku.

Sunil Chhetri dari India mengumpul 93 gol, dengan Lionel Messi meledak 106 kali buat Argentina.

sumber:- BH

Seorang lagi ikon Iran, Ali Daie kekal di tangga kedua dengan 109 gol, manakala Cristiano Ronaldo masih mampu melebarkan jaringan untuk Portugal dengan rekod 128 gol setakat ini. – AFP