sukan

Malaysia cabaran terbesar — Pengendali Kyrgyzstan

Pengendali Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic menyifatkan aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ketika Malaysia menjadi pencabar pertama mereka sebagai aksi terbesar dalam kariernya bersama pasukan itu.

Tarkovic yang baru menyertai republik itu pada Mei lalu bagaimanapun tidak akan tunduk pada tekanan yang pasti menyelubungi pasukan terbabit menjelang pertemuan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

“Saya sukakan tekanan dan tekanan adalah perkara yang biasa dalam bola sepak. Ini adalah perlawanan terbesar saya dan ini (lawan Malaysia) adalah permulaan untuk objektif kami yang mahu layak ke pusingan seterusnya.

“Semua orang mengimpikan untuk ke Piala Dunia, begitu juga kami dan untuk layak ke Piala Dunia, kita perlu melepasi pusingan ini dahulu. Jadi kami akan berjuang habis-habisan untuk mencapai impian ini.

“Walaupun Oman adalah pasukan pilihan tetapi saya tetap melihat ini sebagai satu saingan yang mencabar. Saya rasa dua pasukan yang layak ke pusingan seterusnya akan diputuskan pada hari terakhir perlawanan nanti,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Dalam masa sama, Tarkovic mengakui pasukannya tetap perlu berhati-hati dengan ancaman yang mampu dihadirkan skuad bimbingan Kim Pan Gon meskipun Krygyzstan berada pada ranking lebih tinggi ketika ini.

“Saya rasa Malaysia adalah sebuah pasukan yang baik tetapi kita juga sudah membuat analisis mengenai persembahan mereka dan juga prestasi individu pemain. Semuanya bergantung kepada aksi di atas padang nanti.

sumber:- BH

“Kita perlu manfaatkan kelemahan mereka dan cuba mengelak daripada mereka menggunakan kekuatan mereka. Saya jangkakan ini satu aksi yang sengit dan kita perlu berikan persembahan di tahap yang tertinggi,” katanya.