Sabah FC mempamerkan corak permainan penuh bergaya dalam melakar kemenangan 4-1 ke atas Hai Phong FC dalam aksi Piala AFC di Stadium Likas, sebentar tadi.
Saddil Ramdani muncul pemain paling cemerlang buat skuad Sabah, apabila bertindak sebagai penggerak dua jaringan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sekaligus memastikan tiga mata penuh.
Dengan misi membalas dendam atas kekalahan 3-2 ke atas Hai Phong dalam aksi terdahulu, Sabah menampilkan aksi penuh bertenaga di hadapan penyokong sendiri, berjaya membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Daniel Ting.
Gerakan yang dimulakan oleh Stuart Wilkin di bahagian tengah sebelum dengan bijak melakukan lorongan buat Daniel Ting menampan masuk bola ke dalam gawang.
Sabah menggandakan kelebihan 14 minit kemudian, sepakan percuma Saddil disambar masuk dengan penuh bertenaga daripada penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok. Untuk rekod, ia merupakan gol kelimanya dalam saingan Piala AFC.
Bersambung dalam separuh masa kedua, corak permainan kembali seimbang, dengan deretan peluang dihasilkan kedua-dua pasukan bagi mendapatkan jaringan.
Dan akhirnya, Sabah berjaya mendapatkan gol ketiga, Saddil sekali lagi bertindak sebagai perancang, melepaskan hantaran lintang ke dalam kotak penalti, hanya untuk Gabriel Peres menanduk masuk gol sekaligus membenarkan pasukan selesa mendahului dengan tiga jaringan.
Hai Phong berjaya menjaringkan gol saguhati pelawat pada minit ke-34 menerusi Yuri Mamute.Kemenangan tersebut meletakkan Sabah di puncak Kumpulan H dengan sembilan mata sementara Hai Phong di tangga kedua dengan enam mata.
Sabah melengkapkan malam penuh bergaya dengan jaringan keempat, Ramon Machado bijak melakukan hantaran silang untuk disudahkan oleh Jafri Firdaus Chew dalam masa kecederaan.
sumber:- SA
Sabah kembali beraksi dalam saingan Piala AFC 30 November ini bertemu kelab Hougang United FC sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan bertemu PSM Makassar.