sukan

Luahan Fandi Ahmad selepas aksi berdepan PDRM

Kekecewaan tidak dapat disembunyikan pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad selepas skuad itu tewas 2-3 kepada PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Kekalahan itu juga menyukarkan laluan skuad Tok Gajah untuk berada di kedudukan tiga terbaik liga musim ini susulan keputusan itu.

Bagi Fandi, mereka tidak sepatutnya tewas selepas menjaringkan gol pendahuluan sebelum lawan berjaya menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama.

“Saya kecewa dengan kekalahan ini kerana misi utama pasukan ialah mengutip tiga mata di halaman sendiri selepas seri 2-2 berdepan Terengganu FC (TFC) pada 29 Oktober lalu.

“Kekalahan ini sebenarnya lebih kepada disiplin dalam kalangan pemain yang bermain secara individu dan bukannya berpasukan menyebabkan kita tidak dapat bermain baik.

“Sepatutnya pada babak pertama mendapat penyudahan yang baik tetapi kita kurang karakter ketika pemain lawan memiliki semangat tinggi untuk mencatat kemenangan.

“Saya kecewa kerana sebelum perlawanan saya sudah menunjukkan video permainan PDRM tetapi tidak berjaya untuk menambah jaringan,” kata legenda bola sepak Singapura itu.

Pada perlawanan itu, dua gol Tok Gajah masing-masing dijaringkan Kpah Sherman dan Stefano Brundo pada minit kelapan dan 67.

Manakala, tiga gol The Cops menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-35 dan 45 serta Dzulfahmi Abdul Hadi minit ke-42.

sumber:- HM

Selepas 22 perlawanan, Sri Pahang kekal berada di kedudukan keempat dengan 44 mata tetapi Sabah FC yang mengutip 42 mata di kedudukan kelima mampu memintas jika prestasi tidak konsisten dipersembahkan pada baki tiga perlawanan.