sukan

Baru berusia 17 Tahun tapi sudah ‘mendunia’

Pemain muda meningkat naik berusia 17 tahun, Endrick yang dianggap antara permata bola sepak Brazil mendapat panggilan pertamanya untuk misi pasukan kebangsaan ketika jurulatih Fernando Diniz mencari pengganti Neymar.

Endrick yang bakal menyertai Real Madrid apabila berusia 18 tahun pada Julai 2024 dijangka tampil kali pertama bersama skuad senior Brazil dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Colombia dan Argentina bulan ini sekali gus muncul pemain termuda menyarung jersi Selecao sejak Ronaldo pada 1994.

“Dia pemain yang sangat berbakat besar,” kata Diniz ketika mengumumkan skuadnya dalam sidang media awal pagi tadi.

“Panggilan ini bukan tekanan, ia hadiah dan juga pandangan masa depan pemain muda ini.”Endrick yang dilaporkan dibeli oleh Real Madrid dengan yuran perpindahan 72 juta euro (RM348.82 juta) masih segar dengan dua jaringan ketika kelabnya Palmeiras bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Botafogo 4-3 minggu lalu.

Juara lima kali Piala Dunia Brazil akan menentang Colombia di tempat lawan pada 16 November dan musuh tradisi Argentina (21 November) di Stadium Maracana, Rio de Janeiro.

Turut tampil kali pertama dalam skuad senior ialah penyerang Brighton Joao Pedro, 22, Paulinho, 23, (Atletico Mineiro) dan Pepe, 26, (Porto) manakala Diniz menyisihkan penyerang Tottenham Richarlison yang beraksi di Piala Dunia 2022.

sumber:- BH

Selain Neymar, 31, yang diketepikan beberapa bulan akibat kecederaan lutut pada 17 Oktober ketika Brazil tewas 0-2 kepada Uruguay, mereka juga beraksi tanpa kapten yang juga pemain tengah Manchester United Casemiro yang tersisih beberapa minggu akibat kecederaan hamstring.