sukan

Keputusan hasil pertemuan Zii Jia dan Stuart

Belum ada kata putus daripada Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) untuk pemain itu menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai Program Road to Gold (RTG).

Sebaliknya, pemain ranking ke-11 dunia itu memohon untuk diberikan sedikit lagi masa bagi meneliti butiran perjanjian berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam, semalam.

Menurut Stuart, pertemuan semalam berjalan dengan baik yang turut dihadiri Zii Jia dan jurulatihnya, Wong Tat Meng.

“Kami mengadakan pertemuan dengan Team LZJ semalam bagi membincangkan butiran sokongan dan kriteria dalam perjanjian komitmen RTG.

“Pertemuan itu yang dihadiri saya dan sekretariat RTG selain ahli daripada Team LZJ termasuk Zii Jia dan jurulatihnya Tat Meng berjalan dengan baik.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk Zii Jia mengambil sedikit masa bagi berbincang secara dalaman dan mempertimbangkan program serta perkhidmatan sokongan ditawarkan kepada dirinya dalam RTG.

“Dia akan memberikan maklum balas kepada sekretariat RTG dalam masa terdekat,” kata Stuart.

Bagaimanapun, Stuart memberitahu tempoh masa yang diberikan sebelum ini iaitu sehingga 14 November kekal terpakai untuk Zii Jia memberikan jawapannya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan Zii Jia adalah satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG masih belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan berkenaan.

sumber:- BH

Dia diberikan tempoh selama 14 hari sehingga 14 November bagi melengkapkan komitmen berkenaan.