sukan

Khas untuk Aaron-Wooi Yik

Satu program latihan khas akan dirangka buat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi memastikan mereka mencapai kemuncak prestasi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata selain perlu terus menampilkan prestasi konsisten, pasangan itu juga perlu berada di kedudukan ranking terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris, April tahun depan.

“Adalah penting untuk Aaron-Wooi Yik menampilkan prestasi yang konsisten dalam kejohanan disertai dan menjaga kedudukan ranking mereka kerana ini akan beri kelebihan buat mereka dari segi kedudukan selaku pemain pilihan.

“Apa yang paling penting sekarang adalah kita perlu merangka satu program khusus bagi membolehkan mereka mencapai kemuncak prestasi pada waktu tepat.

“Matlamat itu sudah tentu mahu dicapai di Sukan Olimpik Paris,” kata Rexy.

Selepas beberapa kali terpaksa berpuas hati dengan status naib juara, Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking ketiga dunia akhirnya berjaya merangkul gelaran pertama mereka dalam Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Denmark, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, disebabkan jadual kejohanan yang padat selain kecederaan paha yang dialami Wooi Yik, pasangan itu terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Perancis.

Mereka dijangka kembali ke gelanggang pada saingan Masters Kumamoto di Jepun yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 19 November ini.

“Saya percaya ia adalah rehat yang sangat diperlukan mereka kerana sudah bermain sejak Sukan Asia Hangzhou lagi.

“Ia memberi kebaikan buat mereka untuk pulih dari segi fizikal dan mental.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah Aaron-Wooi Yik mempunyai pemikiran yang sangat positif, dan berada dalam kedudukan yang positif.

sumber:- BH

“Mereka semakin matang, dan mempunyai hala tuju yang jelas tentang apa yang mereka mahu capai,” tambah Rexy.