sukan

Anti JDT bakar semangat TMJ

‘Sokongan’ daripada pesaing ataupun kelompok yang digelar ‘penyokong gelap’ jelas membakar semangat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi memastikan pasukan itu terus berada di puncak.

Menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ di Youtube malam tadi, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor itu mengakui kehadiran kelompok penyokong ini menimbulkan rasa persaingan sekali gus membuatkan baginda mahu terus mencapai banyak kejayaan bersama skuad Harimau Selatan.

“Jujurnya, apa yang membuatkan saya terus bersemangat adalah pesaing saya, penyokong yang kurang arif kerana apabila mereka dianggap sebagai seteru, saya mahu pastikan yang mereka kecewa.

“Itu sikap saya dan jika anda seteru, kita mahu tewaskan anda setiap tahun. Kalau tanpa kelompok penyokong yang digelar sebagai pembenci ini, saya rasa saya sudah lama tiada dalam bola sepak.

“Mereka yang selalu perlekehkan projek JDT saya, kerana merekalah, saya masih ada rasa persaingan untuk melakukan lebih lagi. Jadi mereka banyak memotivasikan saya,” kata Tunku Ismail.

Dalam masa sama, Tunku Ismail turut menegaskan pelbagai pencapaian yang berjaya diraih JDT hasil ‘air tangannya’ seakan memberi kepuasan kepada dirinya sekali gus turut membuatkan baginda mahu terus memacu pasukan itu ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya hanya mahu menang dan tidak suka kalah. Saya mahu lakukan yang terbaik dan setiap kali saya melakukan yang terbaik, saya rasa ia satu pencapaian yang terbaik.

“Saya dapat tunjukkan kepada mereka (pembenci), tengok di mana saya sekarang, tengok di mana kelab saya sekarang, apa pencapaian yang kami ada.

SUMBER:- BH

“Perkara sebegini yang membuatkan semangat itu terus membara. Saya sentiasa mahu menjadi lebih baik dan bertambah baik,” katanya.