sukan

Tang Jie-Ee Wei diberi amaran

Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengingatkan anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk tidak berasa selesa di sebalik kedudukan mereka yang kini di landasan tepat bagi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkara itu disuarakan Nova selepas menyaksikan Tang Jie-Ee Wei tersingkir di pusingan kedua Terbuka Perancis, Khamis lalu.

Ia adalah kali kedua berturut-turut mereka ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua selepas turut mengalami nasib sama di Terbuka Denmark, minggu lalu.

Menurut Nova, pasangan nombor sembilan dunia itu seharusnya tidak terlalu selesa dengan kedudukan ketika ini memandangkan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 masih berjalan, sekali gus belum menjamin kedudukan mereka ke temasya berprestij dunia itu.

“Saya fikir belum sampai masa untuk mereka berada dalam keadaan santai kerana kelayakan ke Sukan Olimpik masih belum selamat. Mahu atau tidak, memang mereka perlu pergi ke setiap kejohanan.

“Selepas ini, akan rehat lebih kurang seminggu sebelum menyertai kejohanan Masters Korea. Buat masa sekarang, mereka memang ada peluang untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir nanti,” katanya.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei gagal melangkah suku akhir Terbuka Perancis selepas tewas kepada beregu Hong Kong, Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau menerusi aksi straight set 19-21, 15-21 dalam tempoh 42 minit.

Nova mengakui kecewa dengan kekalahan itu dan enggan menjadikan kejohanan berturut-turut sebagai salah satu punca anak-anak buahnya gagal menampilkan aksi seperti diharapkan.

“Ya, mereka tidak bermain dengan baik, seolah-olah tidak tahu mahu buat apa dalam gelanggang. Setiap kali ada peluang untuk melangkah jauh dalam mana-mana kejohanan, mereka sering berdepan keadaan seperti ini.

sumber:- BH

“Kalau nak cakap mereka sudah sampai had kerana bermain secara berturut-turut, pemain-pemain lain juga berdepan situasi sama. Jadi, ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan,” katanya.