sukan

Ranking Malaysia jatuh buat pertama kali

Skuad Harimau Malaya jatuh tiga anak tangga dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kemas kini terbaharu hari ini, skuad kendalian Kim Pan Gon menghuni tangga ke-137 dunia berbanding 134 pada kemas kini 21 September lalu.

Bagaimanapun, kedudukan Harimau Malaya dalam kalangan negara Asia kekal di tangga ke-24 selain naik ke tangga ketiga di Asia Tenggara susulan Filipina (138) yang jatuh enam anak tangga.

Mengalami kejatuhan pertama dalam kemas kini ranking dunia tahun ini, jumlah mata keseluruhan yang diraih Harimau Malaya bagaimanapun meningkat 1.82 mata apabila mengumpul 1096.72 berbanding 1094.9 dalam kemas kini sebelum ini.

Jumlah mata terbaharu itu membabitkan dua aksi Pestabola Merdeka 2023 yang mana Harimau Malaya meraih kemenangan 4-2 ke atas India sebelum tewas 0-2 kepada Tajikistan.

Juara Piala Dunia musim lalu, Argentina kekal pasukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1861.29 mata keseluruhan diikuti Perancis di tangga kedua dan Brazil menghuni kedudukan ketiga.

sumber:- BH

Jepun yang menghuni tangga ke-18 dunia pula kekal sebagai pasukan teratas Asia dengan mengumpul 1612.99 mata manakala Iran dan Korea Selatan berada di tangga kedua dan ketiga benua itu.