sukan

Kudrat Aaron-Wooi Yik luar biasa

Beregu lelaki utama negara, Aaron-Wooi Yik tetap bersemangat tinggi biarpun kini sudah mengharungi empat kejohanan berturut-turut.

Semalam, pasangan nombor empat dunia itu berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Denmark selepas menewaskan beregu Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-16, 21-18 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Arena Jyske Bank di Odense.

Saingan Terbuka Denmark adalah kejohanan keempat berturut-turut buat Aaron-Wooi Yik selepas saingan berpasukan dan individu Sukan Asia Hangzhou dan Terbuka Artik di Vantaa, Finland.

Malah, pasangan itu akan mengharungi kejohanan kelima berturut-turut mereka minggu depan apabila beraksi di Terbuka Perancis di Rennes.

Di Terbuka Artik, minggu lalu mereka tersingkir di pusingan pertama selepas tunduk di tangan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang muncul naib juara di kejohanan berkenaan.

Menurut Aaron, kekalahan di tangan Wei Chong-Kai Wun bukanlah disebabkan faktor keletihan.”Mungkin di Finland itu, kami bermain menentang rakan sepasukan dan ia bukan sesuatu yang mudah. Kami sudah berikan yang terbaik namun Wei Chong-Kai Wun bermain lebih baik pada hari itu,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas aksi menentang Christo-Toma.

Selepas tersingkir awal di Finland, tempoh masa yang ada digunakan sebaiknya oleh Aaron-Wooi Yik untuk memulihkan semula tenaga mereka bagi mengharungi saingan Terbuka Denmark.

“Memang setiap kejohanan kami perlu bermula dari kosong. Saya fikir ini adalah kali pertama kami akan bermain lima kejohanan berturut-turut, memang perlu buat persiapan terbaik dan menjaga tubuh badan kami.

“Walaupun masih dalam kejohanan, kami tetap meneruskan latihan fizikal di gimnasium,” kata Aaron.

Aaron-Wooi Yik dijadual menentang pasangan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan bagi perebutan tiket ke suku akhir Terbuka Denmark, esok.

Aksi esok bakal menjadi pertemuan ke-13 buat kedua-dua pasangan dengan Aaron-Wooi Yik sebelum ini hanya menang empat kali.

sumber:- BH

Dua daripada kemenangan itu hadir ketika mereka aksi penentuan pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan final Kejohanan Dunia tahun lalu.