sukan

Dion Cools dedah keadaan di bilik persalinan selepas tewas

Kapten pasukan kebangsaan Dion Cools mengakui kekalahan kepada Tajiskitan pada final Pestabola Merdeka 2023 malam tadi menjejaskan emosi pemain menyebabkan ada antara mereka dibayangi aura negatif, sehingga keadaan di dalam bilik persalinan terlalu suram.

Namun Cools berkata, pemain tidak boleh terus dirundung kecewa sebaliknya mengambil iktibar daripada perlawanan itu bagi memperbaiki kelemahan menjelang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 bulan depan.

“Ini adalah persembahan keseluruhan pasukan, kita kalah bersama, kita menang juga bersama. Kebanyakan pemain sekarang ini berfikiran negatif dan kita tidak sepatutnya membiarkan perkara itu.

“Banyak juga benda positif kerana pada saya, kita mendominasi perlawanan sekalipun berdepan pasukan di ranking lebih tinggi.”Apa yang lebih penting sekarang ini adalah kelayakan Piala Dunia bulan depan, kita perlu bersiap sedia,” katanya kepada pemberita selepas aksi final malam tadi, yang mana skuad kebangsaan tewas 0-2 kepada Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Turut ‘meratapi’ kekalahan malam tadi pemain pertahanan Matthew Davies, yang kecewa kerana tandukannya gagal menembusi gol lawan sebelum tamat babak pertama.

Bagaimanapun, Davies berharap kekalahan pasukan bimbingan Kim Pan Gon membuka jalan kepada peningkatan pasukan negara menjelang aksi kelayakan bulan depan.

“Kita ada peluang dan kualiti, kita cuma tidak dapat menyudahkan peluang, tidak ada rezeki dan tuah dalam perlawanan ini. Keputusan tidak baik untuk kami tapi kita akan fokus untuk kelayakan bulan depan.

“Memang boleh perbaiki, ada aspek berbeza boleh diperbaiki tapi memang hari ini, kita kecewa. Nanti kita tengok balik perlawanan hari ini untuk lihat macam mana (permainan pasukan),” katanya.

Sementara itu, Stuart Wilkin berkata walaupun kekalahan itu amat mengecewakan namun skuad Harimau Malaya tidak boleh terus dibayangi kesedihan dan perlu segera bangkit.

“Kita perlu segera bangkit… Sudah pasti ada analisis perlawanan ini. Kita akan tengok semula dan kenal pasti bahagian mana yang kita lakukan dengan baik dan apa yang perlu diperbaiki. Kita bersedia untuk perlawanan akan datang,” katanya.

sumber:- BH

Pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027, Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan D berdepan Kyrgyzstan pada 16 November di laman sendiri sebelum berlepas ke Taiwan untuk menentang tuan rumah pada 21 November.