Skuad muda negara, AMD Dream melangkah ke final Kejohanan Bolasepak Piala Supermokh 2023 kategori bawah 13 tahun apabila menewaskan Evergrande Football School 2-0 dalam aksi separuh akhir di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang, hari ini.
AMD Dream terpaksa menunggu minit ke-36 untuk berada di hadapan menerusi jaringan Muhammad Haziq Zamin sebelum Muhammad Harraz Ajwad meledak gol kedua, enam minit kemudian untuk membawa skuad itu ke pentas akhir.
Bagi aksi final esok, skuad kendalain Azmi Arifin itu akan berentap dengan pasukan Lech Poznan FC yang mara selepas mengatasi Zhejiang Professional FC 5-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
“Syukur Alhamdulillah, pemain kami beraksi dengan baik. Bukan senang mahu menewaskan pasukan yang berpengkalan dari China ini dan pemain saya berjaya melakukannya.
“Ini adalah kejayaan bersama dan lebih banyak lagi kerja perlu dilakukan bagi menghadapi aksi di pentas final esok,” kata Azmi selepas perlawanan.
Bagi kategori 14 tahun, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) turut mengesahkan slot ke final apabila menewaskan AMD Dream 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Satu lagi slot final kategori itu menjadi milik juara bertahan, Buriram United selepas tidak berdepan masalah membenam cabaran Shonan Bellmare 3-0.
sumber:- BH
Sementara itu, kategori bawah 12 tahun menyaksikan pasukan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) A menewaskan NFDP B 3-1 untuk menempah pertembungan akhir dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mara selepas mengatasi Zhejiang Professional FC 2-1 di separuh akhir.