sukan

Komen Chong Wei Aksi Zii Jia di Sukan Asia

Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menyeru peminat badminton Malaysia supaya tidak berputus asa dengan skuad badminton negara.

Ini selepas barisan pemain negara gagal mencapai sasaran dua pingat perak dan satu gangsa yang ditetapkan di Sukan Asia Hangzhou.

Kem badminton Malaysia menamatkan kempen di Sukan Asia dengan hanya satu gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Chong Wei yang juga bekas pemenang perak Sukan Asia turut berada di Hangzhou bagi memberi sokongan kepada kontinjen Malaysia sebagai ahli jawatankuasa Road to Gold (RTG) dan pengurus skuad badminton bagi Sukan Olimpik Paris 2024.

Susulan kekalahan Aaron-Wooi Yik di separuh akhir, kelamarin, Chong Wei bertemu media Malaysia bagi memberi taklimat mengenai apa dijangka berlaku menjelang mesyuarat jawatankuasa RTG.

Bulan lalu, penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam mendedahkan atlet yang berada dalam program RTG akan dinilai selepas tamat Sukan Asia.

Sama ada, ada pemain badminton yang akan digugurkan daripada program RTG, Chong Wei, berkata: “Buat masa sekarang, belum ada sebarang keputusan dibuat. Kami akan mengadakan mesyuarat pada 12 Oktober ini.

“Saya tahu yang kita gagal mencapai sasaran dalam badminton tetapi saya harap peminat semua tidak berputus asa dengan atlet kita.

“Dengan sokongan semua, saya percaya pemain boleh belajar daripada kekalahan mereka dan menjadi lebih kuat pada masa depan.

“Saya sudah menyertai empat Sukan Olimpik. Apa yang saya boleh lakukan adalah berkongsi pengalaman dengan pemain,” kata Chong Wei.

Dalam pada itu, Chong Wei turut mengulas prestasi dua pemain perseorangan lelaki – bekas juara Seluruh England, Lee Zii Jia dan pemain ranking ke-19 dunia, Ng Tze Yong.

Kedua-dua pemain tewas dalam perlawanan acara berpasukan dan mara sehingga ke suku akhir bagi saingan individu.

Zii Jia berjuang habis-habisan tetapi tewas kepada pemain India, HS Prannoy manakala Tze Yong tunduk di tangan Kodai Naraoka dari Jepun.

“Zii Jia mempamerkan peningkatkan prestasi dan corak permainannya juga sudah berubah. Dia bermain dengan lebih sabar dan tidak hanya bergantung kepada kelebihan serangannya.

“Ini adalah sesuatu yang baik untuk dia. Kami berharap dia akan kembali mendapat prestasi terbaiknya.

“Untuk Tze Yong, saya sudah bercakap dengan kedua-dua jurulatih Rexy (Mainaky) dan Hendrawan untuk tengok bagaimana bagi meningkatkan permainannya.

“Daripada segi strategi, dia menunjukkan peningkatan tetapi apa yang kurang adalah kekuatan bahagian bawah badannya. Kakinya tidak cukup kuat.

sumber:- BH

“Ini terbukti dalam perlawanan dia menentang Kodai. Selepas set pertama, Tze Yong tidak boleh ikut kepantasan lawannya. Dia pun tahu perkara ini,” kata Chong Wei.