sukan

FAM sokong jadi tuan rumah Piala Dunia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyuarakan sokongan kepada Arab Saudi dalam kempen negara itu membida tuan rumah Piala Dunia 2034.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Haji Mohd Amin berkata, bidaan Arab Saudi itu hadir setahun selepas Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah yang diklasifikasikan sebagai berjaya oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

“Lantaran itu, kami menyokong Arab Saudi sebagai satu lagi negara Asia yang mampu menyajikan Piala Dunia selepas Korea Selatan dan Jepun pada tahun 2002 dan Qatar, 2022.

“Piala Dunia yang diadakan di Korea Selatan, Jepun dan Qatar amat menakjubkan dan kami yakin Arab Saudi juga mampu menganjurkan kejohanan yang sama,” kata Hamidin.

Rabu lalu, Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk membida penganjuran Piala Dunia 2034, sejam selepas badan induk bola sepak dunia FIFA mengeluarkan kenyataan mengenai rancangannya bagi Piala Dunia 2030 dan menjemput negara dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk membida bagi edisi 2034.

sumber:- BH

AFC turut menyatakan sokongannya kepada bidaan Piala Dunia Arab Saudi 2034 sejurus selepas ia diumumkan.